SHAH ALAM – “Kadang-kadang memang rasa letih, rasa tertekan sangat. Tapi saya tak boleh lama-lama lemah. Kena kuat... sekuatnya mental dan emosi demi anak-anak.”
Itu luahan seorang ibu yang mahu dikenali sebagai Ainina, yang berdepan cabaran menjaga dua anak istimewa, anak sulungnya, Hazim, 6, yang disahkan menghidap autisme, manakala anak keduanya, Hakimi, 4, pula mengalami masalah kelewatan pertuturan.
Menurut wanita tabah itu, perjalanan membesarkan Hazim dan Hakimi tidak mudah, namun kasih sayang serta keazaman sebagai seorang ibu membuatkannya terus bangkit setiap hari.
“Hazim seorang anak yang sangat istimewa. Dia suka pada rutin dan ada masa-masa tertentu dia akan tunjukkan emosi yang sukar dijangka. Bila mula tantrum, saya kena sabar sangat-sangat.
“Hakimi pula lambat bercakap. Sampai sekarang masih guna isyarat atau bunyi untuk berkomunikasi. Saya tak pernah bandingkan mereka dengan anak orang lain, tapi kadang-kadang emosi tetap terganggu,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Tambah Ainina, dia turut berusaha mendapatkan rawatan dan terapi yang bersesuaian untuk kedua-dua anaknya, walaupun memerlukan komitmen kewangan dan masa yang tinggi.
“Setiap minggu kena bawa ke pusat terapi. Kadang-kadang tiga ke empat sesi seminggu. Penat itu memang penat. Tapi saya selalu ingatkan diri, ini bukan salah mereka.
“Mereka cuma perlukan lebih perhatian, lebih kasih sayang dan lebih kesabaran. Alhamdulillah, dua anak saya ini masih boleh diajar menguruskan diri sendiri,” katanya.
Bagi wanita tersebut, sokongan moral daripada suami dan keluarga terdekat amat membantu, namun dia mengakui kesihatan mental seorang ibu juga sangat penting dalam proses penjagaan anak-anak berkeperluan khas.
“Sebab itu saya selalu pesan pada ibu-ibu lain yang senasib – jangan simpan semua dalam hati. Menangis kalau perlu, minta bantuan bila tak mampu. Kita manusia, bukan robot.
“Bukan semua orang faham perjuangan kita, tapi yang penting kita tahu apa yang kita buat ini untuk siapa. Anak-anak kita bergantung pada kita,” katanya.