SHAH ALAM – Pas Selangor mencadangkan kerajaan negeri mengadakan perbincangan rasmi dengan kerajaan Sabah dan Sarawak bagi mendapatkan bekalan babi dari luar untuk keperluan bukan Islam di negeri ini.
Pesuruhjayanya, Datuk Dr Ab Halim Tamuri berkata, cadangan itu sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada ladang ternakan babi di Selangor.
Menurutnya, langkah itu juga mengambil kira perkembangan di Sarawak yang telah menghantar sebanyak 800 ekor babi hidup ke Selangor pada Julai tahun lalu.
“(Sarawak) juga membangunkan ladang bersepadu berskala besar dengan piawaian biosekuriti yang lebih ketat serta sistem pengurusan sisa yang lebih teratur,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Menurut beliau, kerjasama antara negeri wajar diteroka sebagai sebahagian daripada penyelesaian jangka panjang terhadap isu penternakan babi di Selangor, khususnya dalam konteks keterbatasan tanah, kepadatan penduduk dan keperluan menjaga kelestarian alam sekitar.
“Selangor sebagai negeri paling urban dan padat perlu memanfaatkan tanah yang terhad secara optimum demi kepentingan rakyat secara keseluruhan,” jelasnya.
Dalam pada itu, Ab Halim berkata, Pas Selangor dengan penuh takzim menjunjung titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung isu penternakan babi yang disifatkan sebagai panduan berwawasan dan selari dengan kepentingan jangka panjang negeri ini.
Beliau menegaskan, Institusi Diraja memainkan peranan penting sebagai paksi kestabilan negeri dalam memastikan penyelesaian isu itu dilaksanakan secara adil, berhemah dan tidak mencetuskan polarisasi kaum serta agama.
“Ketegasan Baginda mencerminkan komitmen memelihara keharmonian rakyat serta ketenteraman awam di Selangor,” ujar beliau.
Selain itu, Pas Selangor turut menekankan kepentingan melindungi sumber air, alam sekitar dan kawasan tadahan air daripada sebarang risiko pencemaran yang boleh menjejaskan kesejahteraan rakyat.
Mengulas lanjut, Ab Halim meminta semua pihak tanpa mengira latar belakang politik dan agama agar menghormati titah Sultan Selangor serta bergerak ke hadapan secara matang demi membina Selangor yang lebih bersih, selamat dan sejahtera.
Terdahulu, Sultan Sharafuddin tidak berkenan penternakan babi dijalankan di mana-mana daerah di negeri ini kerana dikhuatiri menimbulkan pencemaran alam sekitar dan keresahan masyarakat.
Pejabat Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor dalam kenyataannya memaklumkan bahawa Sultan Sharafuddin bertitah, penternakan babi berisiko menyebabkan pencemaran udara akibat bau busuk selain mencemarkan sungai susulan pelepasan najis dan sisa kumbahan sekali gus menjejaskan sumber air bersih.