SHAH ALAM – “Abang dan ayah meninggal dunia akibat kanser darah, adik pula pergi kerana kanser usus. Sekarang mak pula menghidap kanser darah.
“Saya lihat sendiri pemergian orang tersayang satu persatu. Kalau satu hari nanti mak juga meninggal dunia kerana kanser, tinggal saya sahajalah sebatang kara.”
Demikian perkongsian sayu Shaharudin Shaharni, 35, anak kedua daripada tiga beradik yang ALLAH SWT pilih untuk menguruskan persemadian abang, ayah dan adiknya yang telah pulang ke negeri abadi.
Sudah jatuh, ditimpa tangga. Di samping menunaikan kewajipan menjaga ibunya yang uzur, tumpuan perlu dibahagikan sama rata pula kepada isteri yang sudah lapan tahun berdepan komplikasi buah pinggang hingga memerlukan rawatan dialisis secara kerap.
Ujian datang bertimpa-timpa bagai tiada hari esok, namun anak kelahiran Gerik, Perak itu bersyukur kerana masih dikurniakan tubuh badan yang sihat dan kudrat mencukupi untuk berulang-alik dari tempat kerja ke hospital demi memastikan kedua-duanya menerima rawatan sebaik mungkin.
“Disebabkan sebelum ini sudah ada pengalaman menguruskan ahli keluarga pesakit kanser, saya kini menetap di Bandar Seri Botani, Ipoh, betul-betul berhampiran Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB). Mudah sedikit dan tidaklah terkejar-kejar.
“Iyalah, pagi hingga lewat petang bekerja sebagai pemandu. Petang pula sambilan membuka bengkel cuci kereta. Tetapi, majikan serta kawan-kawan baik sahaja sekiranya saya curi masa menghantar isteri ke pusat dialisis dan mengambil anak dari sekolah.
“Tipulah kalau saya kata tidak letih. Kadang-kadang termenung, terfikir juga kenapalah semua ujian ini berlaku serentak pada saya? Dahlah tiga beradik sahaja, baru hendak berseronok dengan keluarga, diuji sebesar ini,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Bapa kepada dua cahaya mata itu menambah, pemergian adiknya, Syazarul Naim pada 18 Disember 2024 memberi kesan yang cukup mendalam memandangkan kedua-duanya rapat antara satu sama lain.
Dia juga mengakui hanya memiliki banyak kenangan bergambar bersama Syazarul berbanding arwah ayahnya, Shahrani dan abang sulungnya, Sharazman yang meninggal dunia lebih 10 tahun lalu.
Ditanya mengenai simptom yang dialami Syazarul sebelum mendapatkan diagnosis doktor pakar, Shaharudin memaklumkan antaranya pedih perut, buang air kecil dan besar tidak lawas, cepat lesu serta selera makan merosot.
“Syazarul dulunya seorang anggota polis, semasa hayatnya sangat kurang minum air kosong. Apabila diperiksa, terdapat simptom kanser usus. Dalam tempoh seminggu, berat badannya menyusut secara drastik.
“Namun, saya lihat kanser darah tidak menyebabkan badan terlalu menyusut, cuma ada gejala demam sejuk dan kulit terasa miang seolah-olah aliran darah membuatkan seluruh badan berasa merenyam.
“Apa pun, dalam keluarga hanya saya yang sihat, alhamdulillah. Saya harap kudrat empat kerat ini masih mampu berbakti buat keluarga yang masih ada,” katanya.
Sebelum ini, perkongsian Shaharudin di ruangan komen TikTok meraih perhatian warga maya apabila menceritakan seorang demi seorang adik-beradik termasuk bapanya meninggal dunia akibat kanser.