SHAH ALAM - Laman sesawang Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) setakat jam 4.45 petang Selasa masih dalam keadaan kurang stabil berikutan orang ramai berduyun-duyun memasuki platform terbabit untuk mendaftar kelas bahasa asing yang dibuka secara percuma.
Tinjauan Sinar Harian juga mendapati, adakalanya laman sesawang itu mudah diakses, adakalanya sukar, pengguna pula diletakkan dalam barisan menunggu terlebih dahulu untuk beberapa minit sebelum berjaya memasuki platform berkenaan.
Bagi yang belum tahu, PPAS memperkenalkan Language Discovery 2026 @ Selangor Public Library, inisiatif pendidikan yang menawarkan kelas bahasa asing percuma khusus untuk warga Selangor.
Bagaimanapun sejak pendaftaran dibuka pada Isnin, PPAS mengesahkan menerima jumlah capaian pengguna yang tinggi ke dalam laman sesawang, seakan-akan menyamai debaran 'battle' mendapatkan tiket konsert popular atau menempah meja di Restoran Rembayung.
Namun demikian, kata Pengarah PPAS, Datin Paduka Mastura Muhamad, pendaftaran masih dibuka kepada anak Selangor yang berminat untuk mempelajari lapan pilihan bahasa seperti Bahasa Arab, Mandarin, Tamil, Inggeris, Perancis, Jerman, Sepanyol dan Rusia.
"Untuk makluman, pendaftaran kelas bahasa menerima sambutan di luar jangkaan apabila dibuka pada Isnin.
"Ini juga pengalaman baharu buat kami. Maka, kami dengan rendah hati memohon maaf atas sebarang kesulitan yang dialami sepanjang proses pendaftaran berlangsung.
"Kami amat menghargai kesabaran dan sokongan anda. Buat masa ini, PPAS sedang berusaha sebaik mungkin untuk menambah baik sistem pendaftaran agar proses ini dapat berjalan dengan lebih lancar dan selesa buat semua," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Sejak diumumkan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari semasa pembentangan Belanjawan Negeri Selangor 2026, program mempelajari bahasa asing itu terus menjadi tumpuan masyarakat.
Bagi edisi 2026, Kerajaan Negeri Selangor mengumumkan inisiatif khas berjumlah RM500,000 untuk pembelajaran lapan bahasa bagi menggalakkan rakyat Selangor mempelajari bahasa ketiga.
Mastura memaklumkan, pendaftaran kelas bahasa akan terus dibuka kerana kuota percuma masih ada.
Namun, jelas beliau, sekiranya kuota percuma telah penuh, masyarakat tetap berpeluang mengikuti kelas bagi kesemua lapan pilihan bahasa yang ditawarkan melalui slot alternatif pada kadar hanya RM10 sejam iaitu harga subsidi.
Menurutnya, ia bagi memastikan peluang untuk mempelajari bahasa asing tetap tersedia buat semua pada kos yang paling minimum.
"Kami berterima kasih kepada tutor bahasa dan warga kerja yang bersama-sama menjayakan program ini.
"Terima kasih sekali lagi kepada Menteri Besar Selangor atas pengumuman inisiatif ini yang selari dengan pesanan beliau iaitu pastikan tiada sesiapa pun tertinggal," ujar Mastura.