SHAH ALAM - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bersama Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC) memperkukuh komitmen memperluas kesalinghubungan digital luar bandar menerusi pelaksanaan Projek SMART600.
MCMC dalam kenyataannya berkata, ia merupakan sebuah inisiatif berimpak tinggi yang dijangka mengubah landskap digital Sarawak.
Menurutnya, pelaksanaan Projek SMART600 membuktikan komitmen kerajaan dalam memacu kemajuan infrastruktur digital yang inklusif, khususnya bagi menyokong keperluan komuniti luar bandar dalam bidang pendidikan, telekesihatan, komunikasi harian dan ekonomi digital.
"Sebanyak 600 menara komunikasi baharu disasarkan dibina di bawah projek ini, melibatkan dua fasa pelaksanaan dengan 300 menara bagi setiap fasa.
"Setakat ini, sejumlah 587 menara telah berjaya disiapkan, dan daripada jumlah itu, 431 menara telah diaktifkan atau 'on-air' menggunakan teknologi Multi-Operator Core Network (MOCN), manakala selebihnya dijangka diaktifkan secara berperingkat," katanya.
Kolaborasi strategik itu dimeterai melalui majlis menandatangani perjanjian yang berlangsung di Ibu Pejabat SKMM di Cyberjaya, pada Rabu.
Perjanjian berkenaan ditandatangani oleh Pengerusi SKMM, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dan Ketua Pegawai Eksekutif SDEC, Datuk Ir Ts Sudarnoto Osman, sekali gus menandakan sokongan padu terhadap agenda pendigitalan luar bandar di negeri berkenaan.
Turut hadir menyaksikan majlis menandatangani perjanjian itu ialah Pengerusi SDEC, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani bersama pegawai-pegawai kanan SKMM dan SDEC.
Projek tersebut akan menyediakan liputan perkhidmatan mudah alih 4G yang berkualiti tinggi kepada lebih 1,000 lokasi luar bandar dan dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 180,000 penduduk di Sarawak termasuk di kawasan seperti Belaga, Marudi, Sungai Belawai, Kapit dan Sungai Encheremin.
SKMM memaklumkan, akses kepada internet berkelajuan tinggi juga akan dipertingkatkan bagi menyokong penggunaan aplikasi data besar seperti kecerdasan buatan (AI), penstriman video, perkhidmatan awam dan Internet of Things (IoT).
“Pengguna turut mempunyai lebih banyak pilihan perkhidmatan menerusi lima Pengendali Rangkaian Mudah Alih (MNO) di bawah kelolaan MCMC serta jalur lebar Sarawak Rural Broadband Network (MySRBN) kendalian kerajaan Sarawak, di mana semua perkhidmatan ini berkongsi infrastruktur dan spektrum menerusi susunan MOCN,” katanya.
Model pembiayaan SMART600 turut melibatkan sumbangan dua pihak di mana kerajaan Sarawak melalui SDEC akan membiayai kos perbelanjaan modal (CAPEX), manakala kerajaan Persekutuan menerusi SKMM bersama syarikat telekomunikasi akan menampung perbelanjaan operasi (OPEX).
Ujar kenyataan sama, langkah itu sekali gus memastikan kelestarian operasi menara komunikasi di kawasan pedalaman Sarawak walaupun berdepan cabaran geografi dan ekonomi.
"Projek SMART600 juga menyokong aspirasi Sarawak Digital Economy Blueprint 2030 yang bertujuan merapatkan jurang digital dan memperkasa sosioekonomi rakyat secara menyeluruh," katanya.