SHAH ALAM – Dua restoran terkenal dan sebuah kedai gunting rambut ‘hipster’ yang disyaki menggunakan khidmat pendatang asing tanpa izin (PATI) sebagai pekerja telah diserbu pada Rabu.
Serbuan menerusi Op Selera dan Op Dandan di sekitar daerah ini dan Klang dijalankan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor bermula kira-kira jam 1 petang hasil maklumat dan aduan awam.
Dalam serbuan terbabit, terdapat beberapa cubaan pekerja asing melarikan diri, namun tindakan tersebut berjaya digagalkan oleh anggota operasi yang bertindak pantas.
Semasa pemeriksaan dijalankan, terdapat pekerja asing yang gagal mengemukakan dokumen serta permit kerja yang sah.
Premis-premis terbabit kemudian menghentikan operasi seketika bagi memberi ruang kepada proses dokumentasi oleh pihak JIM Selangor.
Pengarah Imigresen Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin berkata, serbuan ke atas tiga premis itu membawa kepada penahanan 24 lelaki warga asing berusia antara 23 hingga 50 tahun yang disyaki tidak memiliki permit kerja yang sah.
“Tangkapan terdiri daripada 12 warga India, lapan warga Sri Lanka serta empat warga Myanmar.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan kesemua mereka telah dihantar ke Depoh Imigresen Semenyih untuk tindakan reman dan siasatan lanjut,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Jelas beliau, operasi akan diteruskan dari masa ke masa bagi mengesan warga asing yang melanggar peraturan imigresen negara.
“Jangan lindungi PATI dan orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menyalurkannya kepada pihak imigresen untuk tindakan lanjut,” ujarnya.