PARIT – Setiap hari ke tanah perkuburan. Duduk bersila di depan pusara kakaknya, membaca surah dengan suara perlahan sambil memeluk batu nisan, seolah-olah kakaknya masih hidup.
Itulah rutin penuh pilu yang dilalui Nur Farisya Ayuni, 12, anak bongsu kepada pasangan Aziz Jaafar Yusof, 50, dan Zaini Noh, 52, yang kehilangan dua kakak dan dua abangnya dalam kemalangan maut di Jerantut, Pahang, pada 6 Jun lalu.
Menurut Zaini, anak perempuannya itu masih belum mampu menerima kehilangan insan-insan tersayang yang sebelum ini menjadi teman rapatnya setiap hari.
“Dia rapat sangat dengan kakaknya. Tidur sekali, makan sama, ke mana-mana berdua. Sekarang ini dia senyap. Kalau balik sekolah, terus masuk bilik tengok gambar. Dia simpan semua baju kakak dia, tudung pun kalau boleh pakai dia akan pakai.
“Setiap hari ajak ke kubur. Dia duduk dekat, peluk batu nisan, baca surah. Dia tak pernah tinggal nak ziarah kakak-kakak dia,” katanya sebak ketika menerima kunjungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di kediaman mereka di Kampung Padang Kunchor, Bota, di sini, pada Rabu.
Dalam kejadian sekitar jam 12.40 tengah malam di Kilometer 7, Jalan Jerantut Feri-Maran, empat beradik, Nur Arfiqah Aziz Jaafar, 23; Mohammad Zulkifli, 21; Mohamad Azizul Hakimi, 19; dan Nurul Hazwani, 17, meninggal dunia selepas kereta jenis Perodua Bezza yang dinaiki mereka berlanggar dengan sebuah Toyota Alphard.
Turut terkorban ialah suami Nur Arfiqah, Mohamad Ikmal Ishak, 26, yang memandu kenderaan tersebut.
Mereka yang maut merupakan anak kedua, ketiga, keempat dan kelima daripada enam beradik.
Zaini berkata, sejak kejadian, anak bongsunya itu sering mengigau pada waktu malam dan enggan ditinggalkan bersendirian walaupun seketika.
“Kadang-kadang dia termenung lama. Pernah juga dia tak nak makan seharian. Saya risaukan dia, jadi sekarang kami tak berani tinggalkan dia seorang. Ke mana-mana mesti ikut,” katanya.
Kesan emosi turut dirasai anak sulung mereka yang kini lebih banyak berdiam diri dan termenung.
“Saya nasihatkan anak-anak untuk reda, walaupun saya sendiri pun kadang-kadang tak kuat. Tapi hidup mesti diteruskan,” katanya.
Sementara itu, PERKESO tampil menyalurkan faedah kepada waris Allahyarhamah Nur Arfiqah selepas semakan mendapati beliau adalah pencarum aktif ketika bekerja di Carsem (M) Sdn Bhd.
Timbalan Pengarah PERKESO Perak, Khairul Mizan Md Said berkata, bapa arwah menerima Faedah Pengurusan Mayat (FPM) sebanyak RM3,000 sebagai bantuan urusan pengebumian.
“Selain itu, ibu bapa serta adik arwah layak menerima Faedah Pencen Penakat secara bulanan. Ibu bapa akan menerima pencen itu sepanjang hayat, manakala adiknya sehingga berusia 21 tahun,” katanya.
Menurut Khairul Mizan, jaringan perlindungan keselamatan sosial seperti ini amat signifikan tanpa mengira sektor atau bentuk pekerjaan.
“Tragedi ini membuktikan bahawa caruman PERKESO mampu menjadi penyambung kasih dan harapan kepada waris yang ditinggalkan.
“Kami berharap sumbangan kecil ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban keluarga dan menjadi bukti bahawa jasa dan pengorbanan arwah tidak pernah sia-sia,” katanya.