Kekalkan kekuatan ‘Cara ASEAN’ - Anwar

Iklan
Anwar berkata, ASEAN tidak lahir daripada keadaan yang mudah tetapi ia dibina dalam kerumitan oleh negara yang memahami tentang bahaya perpecahan dan janji yang ditawarkan melalui sesi dialog.

KUALA LUMPUR- Kekuatan ASEAN bukan terletak pada ketiadaan ketegangan tetapi pada komitmen untuk menguruskannya melalui sikap saling menghormati, dialog berterusan dan mencari kata sepakat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, itulah ‘Cara ASEAN’ dan mahu ia terus kekal sebagai panduan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ASEAN tidak lahir daripada keadaan yang mudah tetapi ia dibina dalam kerumitan oleh negara yang memahami tentang bahaya perpecahan dan janji yang ditawarkan melalui sesi dialog.

“Kita berjaya memelihara keamanan dan meluaskan kemakmuran dengan cara yang jarang dapat ditandingi oleh rantau lain.

Iklan

“Kita melakukannya dengan memupuk kerjasama dan kesediaan untuk terus terlibat walaupun masa lalu adalah sukar dan masa kini menguji,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan pembukaan Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 (AMM) dan mesyuarat berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini pada Rabu.

Iklan

Anwar yang juga Pengerusi ASEAN 2025 turut mengalu-alukan penyertaan Timor-Leste sebagai negara anggota terbaru ASEAN yang dijadualkan pada Oktober ini.

Jelasnya, Malaysia telah lama menyokong perkara itu dan gembira dengan perkembangan dan kemajuan yang dicapai.

“Saya mengharapkan semua negara anggota untuk terus menyokong laluan Timor-Leste ke integrasi penuh, bukan sahaja ke dalam institusi ASEAN tetapi ke dalam perkongsian wawasan untuk masa depan rantau ini.

"Di atas segalanya, Keutamaan ASEAN mesti menjadi panduan kita, seperti yang tercermin dalam pengukuhan dan inovasi berterusan terhadap institusi yang diterajui ASEAN.

“Kita mesti kekal sebagai sauh utama rantau ini bagi dialog, sama seperti Rakan Dialog kita yang mesti terus melihat nilai dalam berinteraksi dengan kita,” jelasnya.

Tambah Anwar, ASEAN mesti memilih untuk mempertahankan peraturan, walaupun orang lain memilih berundur.

“Di sinilah ASEAN membuktikan nilainya, bukan dalam komunikasi tetapi dalam hasil (dialog) yang mengukuhkan wilayah dan berkhidmat kepada rakyat kita.

“Jadi biarlah mesyuarat ini mengesahkan keyakinan bahawa ASEAN akan kekal koheren, berdaya tahan dan dihormati.

“Realisme dan nilai bukanlah kuasa yang bertentangan. Kita memerlukan kedua-duanya sebagai panduan pilihan kita dan untuk mempertahankan apa yang penting,” jelasnya.