KUALA LUMPUR – Pelan reformasi terhadap Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh tadbir urus dan menyusun semula kecekapan sistem penyampaian bagi menjamin keberkesanan peranannya kepada komuniti peladang di seluruh negara.
Ahli Majlis Penasihat (COA) NAFAS, Datuk Hadzir Md Zain berkata, langkah tersebut dilihat penting agar NAFAS kekal relevan dan terus menjadi institusi utama yang mendukung pembangunan sektor pertanian nasional.
“Selepas lebih 50 tahun diberi mandat mengurus subsidi seperti baja, input dan benih, sudah tiba masanya NAFAS memperkukuh keupayaan agar terus menjadi peneraju utama dalam penyampaian bantuan kepada peladang secara lebih cekap dan berkesan, sejajar dengan cabaran pasaran semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Menara Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), di sini pada Selasa.
Menurutnya, COA yang dilantik sepanjang tempoh penggantungan itu berperanan menyokong proses pembaharuan organisasi secara strategik, termasuk memberi nasihat hala tuju baharu, memantau pematuhan tadbir urus serta menjadi penghubung profesional antara NAFAS dan agensi berkaitan.
Hadzir menegaskan, reformasi yang sedang dilaksanakan memberi tumpuan kepada penambahbaikan dalam pelaksanaan program agar lebih tersusun, mampan dan memberi kesan langsung kepada peladang.
“Penambahbaikan ini penting supaya setiap inisiatif dan perbelanjaan yang dilaksanakan benar-benar memberi pulangan terbaik kepada peladang serta memperkukuh peranan NAFAS dalam ekosistem pertanian negara,” katanya.
Beliau turut menekankan pentingnya pelantikan dan kenaikan pangkat dalam organisasi dibuat secara telus dan berasaskan merit bagi memastikan pengurusan yang lebih profesional dan bertanggungjawab.
Operasi kekal lancar, komitmen tidak terjejas
Mengulas mengenai status semasa NAFAS, Hadzir menjelaskan bahawa meskipun pertubuhan itu sedang melalui tempoh penggantungan bagi tujuan penambahbaikan tadbir urus, operasi harian organisasi tetap berjalan seperti biasa dan tidak menjejaskan komitmen terhadap peladang di seluruh negara.
“Panel Pentadbir telah mengambil alih fungsi pentadbiran secara interim dan semua urusan pengurusan, termasuk pengagihan subsidi, berjalan dengan lancar seperti yang dijadualkan. Pelaksanaan di lapangan kekal tersusun, dan NAFAS terus komited memastikan tiada gangguan kepada bantuan yang disalurkan kepada peladang,” katanya.
Menurutnya, NAFAS memiliki kapasiti dan kekuatan tersendiri untuk terus menjadi peneraju dalam industri baja negara, khususnya bagi menyokong pelaksanaan skim subsidi baja padi.
“Kami ada kilang baja berkapasiti 300,000 metrik tan setahun, jaringan logistik yang tersusun serta sokongan rantaian Pertubuhan Peladang yang berperanan sebagai stokis dan penghubung di peringkat akar umbi,” katanya.
Beliau berkata, gabungan kekuatan ini membuktikan NAFAS bukan sahaja mampu melaksanakan amanah yang diberikan, malah layak untuk terus diberi kepercayaan sebagai penyelaras utama dalam program baja subsidi negara.
Reformasi demi masa depan
Hadzir menegaskan, reformasi yang sedang dilaksanakan bukan bertujuan menghukum mana-mana pihak, sebaliknya sebagai langkah pembetulan untuk memperkukuh struktur organisasi agar NAFAS kekal mampan, berdaya saing dan relevan dengan keperluan semasa.
“Sudah tiba masanya kita bergerak ke hadapan dengan kekuatan sendiri, sambil terus menyokong dasar kerajaan. NAFAS perlu tampil lebih yakin, berdikari dan bersedia membuktikan keupayaannya sebagai organisasi yang mampu membawa manfaat jangka panjang kepada peladang dan negara,” katanya.
Beliau berkata, sudah tiba masa untuk pertubuhan peladang bangkit dengan semangat baharu lebih bersedia menerima perubahan, lebih terbuka kepada sistem kerja yang telus dan lebih cekap dalam mengurus sumber serta peluang yang ada.
“Jika kita benar-benar mahu peladang mendapat manfaat berpanjangan, kita mesti berani berubah. Reformasi ini adalah langkah ke hadapan demi masa depan peladang dan kelangsungan pertanian negara,” katanya.