Tarif 25 peratus: Keupayaan rundingan sebelum 1 Ogos jadi cabaran

Iklan
Laporan Sinar Harian berhubung kesediaan kerajaan berunding dengan AS bagi menangani isu-isu belum diselesaikan susulan keputusan negara itu mengenakan tarif balas sebanyak 25 peratus ke atas eksport Malaysia bermula 1 Ogos ini.

KEPUTUSAN Amerika Syarikat (AS) mengenakan tarif import sebanyak 25 peratus ke atas semua produk dari Malaysia bermula 1 Ogos ini memberi isyarat jelas bahawa negara perlu bersiap siaga dari segi diplomasi perdagangan dan kekuatan daya saing eksport.

Dalam kenyataan rasmi yang dimuat naik ke platform Truth Social, Presiden Donald Trump mengumumkan, Malaysia kini tersenarai antara negara yang akan dikenakan tarif import sebanyak 25 peratus oleh AS, sekali gus menandakan permulaan fasa baharu dalam siri tindakan perdagangan terhadap beberapa negara rakan dagang utama Washington.

Iklan
Iklan

Trump berkata, kadar tarif tersebut melibatkan barangan dari Malaysia, Jepun, Korea Selatan dan Kazakhstan dengan kadar berbeza dikenakan ke atas negara lain.

Susulan itu, Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani pada Selasa berkata, Kabinet dijangka membincangkan mengenai isu tersebut pada Rabu ini.

Iklan

Ujar Johari, Malaysia bagaimanapun masih boleh berunding dengan AS berhubung tarif itu sehingga 1 Ogos.

Meskipun Johari memberi jaminan bahawa ruang rundingan masih terbuka sehingga tarikh kuat kuasa, tempoh yang berbaki tidak sampai sebulan itu amat mencabar buat kerajaan.

Iklan

Lebih membimbangkan, tarif baharu ini lebih tinggi berbanding kadar yang diumumkan pada April lalu, menunjukkan tekanan yang semakin meningkat daripada kuasa ekonomi dunia terhadap rakan dagang seperti Malaysia.

Dalam konteks ini, beberapa cabaran utama perlu ditangani segera oleh kerajaan termasuk keupayaan rundingan dua hala Malaysia-AS harus dipertingkat melalui saluran diplomatik dan ekonomi.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bersama Kementerian Luar perlu memainkan peranan aktif menjelaskan pendirian Malaysia serta merayu pengecualian atau penangguhan tarif tersebut.

Kedua, kerajaan perlu bersedia dengan pelan mitigasi sekiranya rundingan gagal mencapai hasil yang memuaskan.

Ini termasuk menyediakan insentif atau sokongan sementara kepada syarikat pengeksport yang bakal terjejas, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang lebih rapuh dari segi daya tahan kos.

Ketiga, Malaysia juga perlu menilai semula kebergantungan terhadap pasaran tertentu seperti AS, dan mempergiat usaha mencari pasaran alternatif di rantau ASEAN, Timur Tengah atau Afrika melalui perjanjian perdagangan serantau.

Langkah pantas dan terancang amat diperlukan bagi mengelak impak lebih besar terhadap ekonomi, termasuk kemungkinan penyusutan nilai eksport negara dan kehilangan pekerjaan dalam sektor berkaitan.

Dengan mesyuarat Kabinet dijangka berlangsung Rabu ini, rakyat menaruh harapan agar keputusan yang dicapai nanti bersifat menyeluruh dan berpaksikan kepentingan jangka panjang negara.