Kesihatan bukan kemewahan tapi hak asas rakyat – TMJ

Iklan
Tunku Mahkota Ismail menasihatkan syarikat-syarikat yang bakal melabur di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura supaya menawarkan gaji minimum sekurang-kurangnya RM4,000 sebulan bagi graduan universiti tempatan.

JOHOR BAHRU – Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail menitahkan agar Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil tindakan segera bagi memastikan Hospital Pasir Gudang yang dijangka mula beroperasi tidak lama lagi dapat berfungsi sepenuhnya untuk memenuhi keperluan kesihatan Bangsa Johor.

Baginda bertitah, kerajaan Persekutuan juga diseru menyegerakan proses kelulusan dan pengisian jawatan kosong yang masih belum diisi, sekali gus dapat mengurangkan kesesakan luar biasa di hospital-hospital di negeri ini termasuk Hospital Sultanah Aminah (HSA), Hospital Sultan Ismail (HSI), dan Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim.

Iklan
Iklan

“Perkhidmatan kesihatan bukan satu kemewahan, ia adalah hak asas yang sepatutnya dapat dinikmati oleh setiap rakyat tanpa perlu menunggu lama dan tanpa rasa terabai,” titah baginda dalam satu kenyataan dimuat naik di laman Facebook HRH Crown Prince of Johor pada Selasa.

Dalam masa sama, baginda menasihatkan syarikat-syarikat yang bakal melabur di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) supaya menawarkan gaji minimum sekurang-kurangnya RM4,000 sebulan bagi graduan universiti tempatan bagi menjamin kesejahteraan tenaga kerja dan menarik bakat bernilai tinggi.

Iklan

"Syarikat-syarikat sedia ada juga digalakkan untuk meneliti semula struktur gaji dan mempertimbangkan kenaikan gaji minimum buat para pekerja tempatan mereka di Johor. Saya turut menggesa kerajaan Persekutuan agar satu dasar atau hala tuju jelas dapat disediakan bagi memastikan isu 'brain drain' di Johor dapat diatasi," titah baginda.

Dalam perkembangan lain, menyentuh isu bekalan air, Johor menghargai kelulusan projek infrastruktur bekalan air baharu bernilai RM991 juta dengan kapasiti 260 juta liter sehari (JLH) oleh Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) yang dimuktamadkan pada 7 Julai lalu.

Iklan

Projek ini dijangka memperkukuh sistem agihan air terawat terutama di kawasan JS-SEZ, sekali gus meyakinkan pelabur bahawa tiada gangguan bekalan air akan berlaku pada masa hadapan.

Selain itu, Johor turut menyasarkan pembinaan infrastruktur air mentah sebanyak 2,000 JLH untuk menampung keperluan air negeri sehingga tahun 2060, termasuk Projek TAPS Sungai Johor (200 JLH), pembinaan Baraj dan TAPS Sungai Sedili (600 JLH) serta Sungai Pontian (100 JLH) yang telah diluluskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

“Kesejahteraan Bangsa Johor adalah keutamaan saya. Keutamaan ini tidak akan saya abaikan dan saya akan terus bersuara agar suara Bangsa Johor tidak tenggelam dalam hiruk-pikuk pentadbiran dan prosedur,” titah baginda lagi.