PEKAN - Polis Pahang berjaya menumpaskan lapan sindiket pengedaran dadah dengan melakukan 22 tangkapan menerusi Ops Indera dalam tempoh Januari hingga Jun tahun ini.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, dalam tempoh itu juga, sebanyak 6,225 kes dengan 7,057 tangkapan telah dibuat melibatkan pelbagai kesalahan penyalahgunaan dadah.
Menurutnya, sejumlah 18 individu ditahan di bawah Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985 kerana didapati terlibat di dalam kegiatan pengedaran dadah.
"Pelbagai jenis dadah turut dirampas dengan nilai rampasan mencecah RM25.6 juta dalam tempoh enam bulan tersebut.
"Jumlah itu menunjukkan peningkatan lebih RM22.5 juta berbanding hanya RM3.15 juta dalam tempoh sama tahun lalu," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perhimpunan bulanan Polis Kontinjen Pahang di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan di sini pada Selasa.
Yahaya berkata, pihaknya turut menyita pelbagai jenis harta hasil kegiatan pengedaran dadah bernilai RM2.32 juta tahun ini.
"Bagi pertuduhan di bawah Seksyen 39C ADB 1952 pula, 265 kes berjaya dituduh di mahkamah bagi tempoh Januari hingga Jun lalu.
"Sementara itu, bagi kadar penyelesaian kes setakat Jun tahun ini, 6,218 kertas siasatan telah dibuka dan 5,514 kes berjaya diselesaikan," jelasnya.
Dalam perkembangan berasingan, Yahaya berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang telah membuka 1,386 kertas siasatan setakat ini membabitkan kerugian lebih RM39.5 juta.
"Daerah Kuantan mencatatkan jumlah kertas siasatan dibuka tertinggi iaitu 567 kes," katanya.