BERITA dua beranak yang ditemukan reput dalam sebuah rumah di Pulau Pinang setelah lebih seminggu meninggal amat mengejutkan ramai.
Kemudian, ia diikuti pula dengan penemuan tiga beranak reput di sebuah kediaman lain di Negeri Sembilan setelah jirannya menyangka mereka keluar ‘outstation’, sedangkan keluarga itu sudah lama tidak bernyawa.
Sekilas pandang, kedua-dua kisah itu kelihatan berbeza. Satu melibatkan kemalangan di sungai, dua lagi kematian mengejut di dalam rumah.
Namun sebenarnya, tragedi itu berkongsi satu titik persamaan iaitu kelemahan jaringan sosial dalam masyarakat kita hari ini.
Budaya mengambil tahu, menziarahi dan memerhatikan jiran sekitar kian pupus. Ramai hanya sibuk menatap skrin telefon dan media sosial sehingga gagal menyantuni jiran yang tinggal selangkah di sebelah rumah.
Dalam Islam, menjaga silaturahim bukan sahaja bermaksud berkunjung ketika kenduri atau menziarahi orang sakit. Ia juga mencakupi sifat prihatin terhadap kesejahteraan dan keselamatan sesama insan khususnya jiran tetangga.
Rasulullah SAW bersabda: “Tidak beriman (sempurna iman) seseorang itu sehingga dia kasih kepada saudaranya sebagaimana dia kasih kepada dirinya sendiri.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Malangnya, tragedi-tragedi seperti itu menyerlahkan realiti getir apabila ramai memilih untuk ‘tidak ambil tahu’ atas alasan enggan mencampuri urusan orang lain.
Kes tiga beranak reput misalnya, jiran menyangka mereka keluar ‘outstation’, tetapi langsung tidak cuba meninjau lebih dekat selepas beberapa hari tidak kelihatan.
Sedangkan Islam mengajar kita supaya mengambil berat apabila terdengar tangisan, bau busuk atau rumah sunyi luar biasa, lalu segera bertanya khabar.
Begitu juga kehilangan enam beranak yang akhirnya ditemukan maut di dalam sungai apabila kereta dinaiki mereka tenggelam di Sungai Korok di Jitra, Kedah. Masyarakat patut menilai semula budaya keselamatan keluarga di jalan raya.
Ada baiknya kita menanam sikap saling membantu, menasihati dan peka terhadap risiko terutamanya sewaktu melalui kawasan berbahaya seperti sungai, banjir atau jalan kampung terpencil.
Fenomena itu menunjukkan nilai kemanusiaan semakin terhakis apabila teknologi mengambil alih rasa kepedulian. Ironinya, kita begitu pantas berkongsi gambar mayat atau tragedi di medis sosial, tetapi terlalu lambat untuk menziarahi jiran yang masih hidup.
Konsep ukhuwah dalam Islam adalah tiang kesejahteraan masyarakat. Bila ia longgar, kita jadi bangsa yang individualistik, membiarkan jiran sekeluarga mati kelaparan atau terperangkap tanpa siapa pun peduli.
Selain itu, tragedi yang menimpa keluarga besar seperti enam beranak itu juga mengingatkan tentang takdir ALLAH SWT yang tidak terduga. Namun, Islam tetap menuntut kita mengambil iktibar agar tragedi serupa tidak berulang.
Aspek pencegahan, pengawasan dan nasihat masyarakat adalah sebahagian daripada prinsip hisbah iaitu saling menegur untuk kebaikan bersama.
Mengertilah, kes-kes sebegitu merupakan isyarat bahawa kita tidak boleh terus selesa memencilkan diri.
Penulis teringat pesanan Eksekutif Pusat Islam dan Kebudayaan, Management and Science University, Ustaz Mohamad Omar Mansu ketika menemubualnya baru-baru ini.
Beliau menegaskan, bukan semua keadaan kita boleh mengambil sikap individualisitik.
Beliau mengingatkan, sikap mementingkan diri secara berlebihan sehingga menyusahkan orang lain atau mengabaikan hak masyarakat tanpa sebab adalah bertentangan dengan ajaran Islam dan boleh mengundang dosa.
Justeru, kembalikan budaya bertanya khabar, menziarahi jiran dan mengambil tahu perkembangan keluarga lain.
Itulah cara Islam memelihara kehidupan agar tidak ada lagi kematian yang sunyi atau tragedi yang meragut satu keluarga tanpa sempat diselamatkan.
*Nurulfatiha Muah ialah wartawan Sinar Islam Plus