Hari Asyura dan kesan komentar tanpa akhlak

Iklan
RAMAI yang ghairah menulis, menilai dan menghukum tanpa ilmu dan tanpa belas dalam dunia digital tanpa sempadan ini. Foto Canva/Gambar kecil: USTAZAH SHARIFAH KHADIJAH

TATKALA umat Islam sibuk membicarakan tentang kelebihan dan ganjaran puasa 10 Muharram, ramai yang terlepas pandang bahawa Hari Asyura bukanlah semata-mata hari untuk menahan lapar dan dahaga.

Ia adalah hari peringatan tentang akhlak yang tinggi, keimanan yang teguh dan seruan untuk kembali kepada nilai kemanusiaan.

Iklan
Iklan

Hari ini kita tidak lagi berdepan dengan kezaliman dalam bentuk pedang dan tombak, tetapi kita sedang berhadapan dengan satu bentuk kekerasan yang lebih halus namun membinasakan, kekerasan kata-kata dan komentar yang lahir dari jari-jemari tanpa akhlak.

Media sosial medan pertarungan akhlak

Iklan

Dalam dunia digital yang serba pantas ini, jari boleh berubah menjadi pisau yang melukai, tanpa sempat akal menyaring dan hati menimbang.

Mereka lupa bertanya,"Adakah ini benar?","Adakah ini akan menyakiti hati insan lain?" dan yang paling penting,"Adakah ALLAH reda dengan apa yang aku tulis ini?"

Iklan

Firman ALLAH dalam ayat keenam surah al-Hujurat mengingatkan: "Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa berita, maka selidikilah dahulu."

Hari Asyura: Kisah perjuangan Nabi Musa AS ditentang Firaun

Hari Asyura memperingatkan kita tentang perjuangan Nabi Musa AS yang difitnah oleh Firaun, namun ALLAH membelanya dengan keadilan yang agung.

Kisah ini menjadi simbol bahawa kebenaran akhirnya akan terbela dan yang dizalimi akan diangkat darjatnya di sisi ALLAH. Justeru, janganlah kita tergelincir menjadi seperti Firaun; berkuasa tetapi menindas dan bersuara tetapi menyakitkan.

MEDIA sosial kini bukan lagi sekadar ruang berkongsi maklumat, tetapi telah menjadi medan pertarungan akhlak. Foto Canva

Sebaliknya, teladanilah Nabi Musa yang sabar, tenang dan menyerahkan segalanya kepada ALLAH yang MAHA MENGETAHUI.

Asyura adalah hari penyelamatan, hari ALLAH menyelamatkan Nabi Musa dan kaumnya daripada kekejaman Firaun.

Ironinya, tangan yang memegang telefon pintar menjadi alat yang mencalarkan hati dan mencemarkan kehormatan, hanya dengan satu klik.

Jaga lisan, tulisan

Persoalannya dalam situasi ini, siapakah kita? Adakah kita termasuk dalam golongan yang menyelamatkan atau kita sebenarnya sedang menyakiti dalam diam?

Di mana akhlak yang diajar oleh Rasulullah SAW; akhlak menjaga lidah, menjaga pandangan dan kini sepatutnya meliputi juga adab jari di zaman digital?

Umar al-Khattab RA pernah berkata, “Barang siapa yang banyak berkata, maka banyaklah silapnya. Barang siapa banyak silap, maka akan banyak dosanya dan barang siapa yang banyak dosanya maka nerakalah yang layak baginya.”

Kata-kata ini sangat relevan hari ini. Jika dahulu yang perlu dijaga ialah lisan, kini perlu juga dijaga tulisan. Dalam era ini, tulisan kita adalah cerminan akhlak dan iman.

PERLU diingat bahawa dosa lidah dan jari terutama yang melibatkan manusia lain tidak akan terampun kecuali setelah memohon maaf kepada orang yang dizalimi.

Bila adab diketepikan, maruah diri bukan sahaja tercalar, bahkan tercabut dari nilai Islam yang sebenar.

Rasulullah SAW bersabda bahawa puasa Asyura menghapuskan dosa setahun yang lalu. Hadis ini sering dikongsi menjelang 10 Muharram.

Maka Hari Asyura juga sepatutnya menjadi titik muhasabah, bukan sekadar untuk menahan lapar dan dahaga, tetapi untuk menahan lidah daripada mengumpat dan menahan jari daripada mencerca.

Hari yang mulia ini seharusnya dijadikan ruang untuk kita mencari kembali mereka yang pernah kita sakiti, membersihkan kembali halaman hati dan memperbaharui niat dalam berakhlak, baik di dunia nyata mahupun di alam digital.

Benar ditegakkan dengan adab dan hikmah

Akhirnya, Hari Asyura membawa satu mesej agung bahawa ALLAH sentiasa berpihak kepada yang dizalimi.

Maka janganlah kita menjadi antara mereka yang menyakiti hati insan lain atas nama kebenaran.

Gunakanlah dunia digital untuk membina, bukan menghancurkan. Gunakanlah kata untuk menyembuhkan, bukan melukakan. Jadilah umat yang menyelamatkan, bukan yang menenggelamkan.

***USTAZAH SHARIFAH KHADIJAH BINTI SYED ABU BAKAR merupakan Pensyarah Kanan dan Ketua Jabatan, Jabatan Pengajian Islam, Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).