Rakaman video peribadi, antara cinta dan aib

Iklan
Rakaman hubungan intim bukanlah satu bentuk kasih sayang atau kepercayaan, sebaliknya boleh menjadi senjata merosakkan kehidupan dan reputasi seseorang apabila disalah guna.

NEGARA dikejutkan dengan kes seorang penceramah bebas yang kini disiasat pihak berkuasa berikutan dakwaan menyebarkan rakaman video seks membabitkan isterinya dan beberapa wanita lain.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, isteri kedua kepada penceramah tersebut membuat laporan polis pada 16 Jun lepas mendakwa suaminya telah menyebarkan video seks melibatkan dirinya, madunya serta beberapa wanita lain.

Iklan
Iklan

Mengejutkan apabila hasil semakan ke atas telefon bimbit penceramah terbabit menemui beberapa video seks membabitkan lelaki itu bersama isteri-isterinya serta gambar-gambar mengaibkan beberapa wanita lain

Persoalan utama yang timbul, mengapa rakaman sedemikian perlu dibuat dan disimpan? apatah lagi melibatkan isteri serta wanita lain yang maruah dan aib mereka sepatutnya dipelihara.

Iklan

Perbuatan merakam aksi tidak senonoh bukan sahaja tindakan terkutuk di sisi agama dan moral, malah boleh memakan diri apabila disalah guna atau disebarkan pihak tertentu.

Dalam konteks tersebut, isu privasi menjadi taruhan.

Iklan

Tindakan merakam hubungan intim, walaupun bersama pasangan sah tetap berisiko tinggi jika tidak dijaga sebaiknya.

Dalam era teknologi serba canggih hari ini, keghairahan merakam momen peribadi tanpa memikirkan akibat jangka panjang menjadi punca utama kepada pelbagai isu penyalahgunaan media digital.

Lebih membimbangkan apabila bahan tersebut tersebar, ia bukan sahaja memalukan individu terbabit, malah membawa kesan psikologi kepada mangsa dan ahli keluarga mereka.

Sebagai masyarakat berpegang kepada nilai agama dan budaya timur, kita sepatutnya menjadikan kes tersebut sebagai pengajaran.

Rakaman hubungan intim bukanlah satu bentuk kasih sayang atau kepercayaan, sebaliknya boleh menjadi senjata merosakkan kehidupan dan reputasi seseorang apabila disalah guna.

Masyarakat juga dinasihatkan agar tidak mudah terpengaruh atau menormalisasikan budaya merakam aksi peribadi sebagai satu bentuk hiburan atau keintiman.

Apa yang dilakukan dalam ruang privasi rumah tangga seharusnya kekal sebagai rahsia antara pasangan, bukan bahan tontonan atau simpanan digital yang berisiko tinggi.

Kes itu bukan sekadar isu peribadi, tetapi satu pengajaran kepada masyarakat bahawa teknologi tanpa kawalan boleh menjadi senjata yang membinasakan.

Hormatilah maruah diri dan orang lain, demi kesejahteraan bersama.