AMPANG - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan 510 notis kompaun terhadap bas ekspres, bas persiaran dan kenderaan barangan dalam Ops Khas Pemakaian Tali Pinggang Keledar di seluruh negara sejak 1 Julai lalu hingga Sabtu.
Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, daripada jumlah itu, notis kompaun dikeluarkan terhadap pemandu ialah 80.
"Manakala notis terhadap penumpang dan kelindan sebanyak 422, kesalahan lain yang dikesan membabitkan tidak menyediakan tali pinggang," katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Program MyLesen B2 2025 peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Pusat Konvensyen MPAJ di sini pada Ahad.
Terdahulu, Aedy Fadly telah menyampaikan 915 lesen motosikal B2 secara percuma kepada individu yang telah menjalani latihan dan ujian di institut-institut memandu.
Mengulas lanjut Aedy Fadli mengingatkan pemandu bas ekspres bahawa mereka akan dikenakan kompaun sekiranya penumpang didapati tidak memakai tali pinggang keledar.
"Ia menjadi tanggungjawab pemandu bas untuk mengingatkan penumpang sebelum kenderaan bergerak," katanya.
Penumpang atau pemandu yang ingkar arahan tersebut akan dikenakan saman sebanyak RM300.
Sebelum ini, media melaporkan JPJ akan mewajibkan pemakaian tali pinggang keledar ke atas semua pemandu dan penumpang bas ekspres serta bas persiaran bermula 1 Julai, melibatkan bas yang dibina selepas Januari 2020.
Bagi bas yang dibina sebelum tahun 2020, tempoh masa akan diberikan untuk pemasangan tali pinggang keledar.