Guru ditahan cabul pelajar OKU

Iklan
Seorang guru di sebuah sekolah menengah ditahan selepas disyaki mencabul pelajar perempuan OKU intelektual. Foto hiasan

REMBAU - Seorang guru di sebuah sekolah menengah di sini ditahan pada Sabtu lalu selepas disyaki mencabul seorang pelajar perempuan orang kurang upaya (OKU) intelektual berusia 16 tahun dalam kejadian 5 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Rembau, Superintenden Hasani Hussain berkata, kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 10.40 pagi di bilik rawatan sekolah itu selepas mangsa mengalami sakit kaki sejurus tamat aktiviti merentas desa.

Iklan
Iklan

“Suspek seorang guru lelaki berusia 36 tahun didakwa memaksa mangsa duduk dan mengurut kaki, betis serta paha sebelum menyentuh bahagian sensitif mangsa walaupun mangsa menolak,” katanya pada Ahad.

Hasani berkata, mangsa kemudian memberitahu seorang rakan sekelas mengenai kejadian itu sebelum membuat aduan kepada guru pendidikan khas pada 30 Jun lalu.

Iklan

Tambah beliau, laporan polis rasmi dibuat pada 5 Julai kira-kira jam 5.15 petang sebelum suspek ditahan pada jam 10 malam pada hari sama di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rembau.

“Daripada hasil soal siasat awal, suspek menafikan terlibat dalam kes tersebut.

Iklan

"Kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya.

Katanya, mangsa merupakan anak kedua daripada lima beradik yang tinggal di rumah perlindungan kanak-kanak sejak tahun lalu selepas menjadi mangsa seksual oleh individu dikenali.