Sindiket jual sijil cuti sakit palsu tumpas

Iklan
Hanyan (dua kanan) menunjukkan sijil cuti sakit palsu yang dirampas dalam satu serbuan di sebuah premis di Sungai Petani pada 26 Jun lalu.

SUNGAI PETANI – Tindakan licik satu sindiket yang dipercayai menjalankan kegiatan menjual sijil cuti sakit (MC) palsu sejak dua tahun lalu akhirnya terbongkar apabila polis berjaya menumpaskan operasi mereka dalam satu serbuan awal pagi pada 26 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda di sebuah premis di Taman Songket Indah di sini kira-kira jam 4.30 pagi.

Iklan
Iklan

Menurutnya, dalam serbuan itu, seorang lelaki berusia lewat 40-an ditahan, manakala beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk menghasilkan MC palsu turut dirampas.

“Antara barangan yang dirampas termasuk tablet, cop, kertas A4, komputer riba, mesin pencetak dan beberapa peralatan lain.

Iklan

“Siasatan awal mendapati sijil cuti sakit palsu itu dijual kepada pelanggan pada harga antara RM25 hingga RM30 bagi setiap hari cuti,” katanya pada sidang akhbar di IPD Kuala Muda pada Ahad.

Tambah beliau, dua lagi lelaki turut ditahan kerana dipercayai bertindak sebagai ejen yang mencari pelanggan untuk mendapatkan MC tanpa rawatan.

Iklan

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan Seksyen 468 Kanun Keseksaan kerana pemalsuan dokumen, yang memperuntukkan hukuman penjara dan denda jika sabit kesalahan.

“Dengan penahanan ketiga-tiga suspek, polis percaya sindiket penjualan sijil cuti sakit palsu di daerah Kuala Muda berjaya ditumpaskan sepenuhnya,” ujarnya.

Menurutnya, dalam pada itu, pihak polis menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan tawaran dokumen palsu dan sentiasa merujuk sumber sahih.

“Gunakan info grafik yang disediakan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) di Facebook rasmi sebagai panduan agar tidak menjadi mangsa penipuan,” katanya lagi.