SHAH ALAM – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah mengenal pasti kegiatan penipuan yang memperdayakan orang ramai dengan mendakwa kononnya jabatan itu menawarkan khidmat menghapus status senarai hitam.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, pihaknya memandang serius kegiatan beberapa akaun media sosial yang terlibat.
Menurutnya, akaun media sosial tersebut secara terbuka mempromosikan perkhidmatan berkaitan urusan perjalanan masuk dan keluar Malaysia, menghapus status ‘blacklist’ dalam sistem JIM serta mengurus permohonan program Rekalibrasi Tenaga Kerja program yang tidak wujud kepada warga asing termasuk pendatang asing tanpa izin (PATI).
“Siasatan awal mendapati akaun-akaun media sosial ini mengenakan bayaran tertentu terhadap setiap perkhidmatan yang ditawarkan.
“Aktiviti ini disahkan sebagai satu bentuk penipuan dan cubaan untuk memperdaya orang ramai dengan mengaitkan JIM bagi mengaut keuntungan secara tidak sah,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Beliau menegaskan bahawa JIM tidak pernah melantik mana-mana individu sebagai ejen untuk menguruskan sebarang perkhidmatan imigresen.
Jelasnya, semua urusan berkaitan perkhidmatan imigresen hendaklah dilakukan di pejabat imigresen yang sah.
“JIM mengingatkan semua pihak agar tidak mudah terpedaya dengan sebarang tawaran atau iklan yang disebarkan melalui media sosial yang menjanjikan urusan imigresen secara ‘pintu belakang’,” ujarnya.
Tegas Zakaria, JIM tidak akan berkompromi dan akan meneruskan pemantauan serta siasatan terhadap akaun-akaun media sosial yang dikenal pasti menjalankan aktiviti penipuan ini sebelum tindakan undang-undang diambil.
“Kerajaan Madani melalui Kementerian Dalam Negeri dan JIM akan terus mempergiat usaha penguatkuasaan dan pemantauan terhadap kegiatan tidak sah yang boleh menjejaskan keyakinan orang awam terhadap sistem imigresen negara,” katanya.