Pelantikan ketua hakim tetap perlu disegerakan

Iklan
Ketiadaan Ketua Hakim Negara secara tetap cetus kebimbangan terhadap kebebasan badan kehakiman dan kelancaran kes berprofil tinggi.

SHAH ALAM - Ketiadaan Ketua Hakim Negara yang dilantik secara tetap boleh mencerminkan kelemahan struktur kepimpinan kehakiman dan menjejaskan persepsi awam terhadap kebebasan badan kehakiman Malaysia.

Pakar Perlembagaan dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Madya Dr Muhammad Fathi Yusof berkata, situasi itu juga mencetuskan persoalan tentang kecekapan institusi kehakiman, malah dikhuatiri menjejaskan kelancaran pengendalian kes-kes berprofil tinggi dan perbicaraan melibatkan pemimpin politik negara.

Iklan
Iklan

“Sekiranya berlaku isu-isu yang melibatkan keseimbangan antara tiga elemen kuasa iaitu badan eksekutif (pemerintah), legislatif (perundangan), maka Ketua Hakim Negara (kehakiman) tetap perlu ada bagi memastikan wujud keseimbangan.

“Ia termasuklah dalam soal pengendalian kes-kes yang berprofil tinggi kerana kita tahu bahawa sebahagian daripada kes ini melibatkan mereka yang memegang jawatan dalam kerajaan iaitu dalam badan eksekutif dan menguasai badan legislatif.

Iklan

“Jadi, kedudukan badan kehakiman yang kosong jawatan ini menggambarkan ketempangan ataupun kelemahan institusi kehakiman. Ini merupakan satu perkara yang merisaukan kita dalam konteks mempertahankan kebebasan mahkamah,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai implikasi kelewatan pelantikan Ketua Hakim Negara terhadap kelancaran pengendalian kes-kes berprofil tinggi atau yang melibatkan pemimpin politik negara susulan persaraan wajib Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

Iklan

Susulan itu, Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim akan menjalankan kuasa atau melaksanakan tugas dan fungsi jawatan Ketua Hakim Negara di bawah Perlembagaan sehingga jawatan tersebut diisi.

Tambah Muhammad Fathi, proses keadilan tidak boleh ditangguh kerana ia akan melambatkan dan menjejaskan keadilan serta kesaksamaan.

“Dalam hal ini, jika sampai masanya, maka kes-kes berkenaan terpaksa juga dikendalikan tetapi tertakluk kepada jumlah hakim yang ada.

“Bagaimanapun, dalam situasi memangku, wujud juga persoalan daripada sudut pertambahan hakim di peringkat Mahkamah Persekutuan itu sendiri kerana pelantikan hakim-hakim ini sebenarnya melibatkan peranan Ketua Hakim Negara.

“Jadi, kelambatan dalam pelantikan Ketua Hakim Negara ini menimbulkan banyak masalah sebenarnya dari sudut kewibawaan badan kehakiman,” ujar beliau.

Muhammad Fathi menjelaskan, apa yang berlaku kini sebenarnya berkait rapat dengan situasi beberapa orang hakim yang akan bersara dalam tempoh yang dekat dan perkara tersebut telah lama dibincangkan kerana tarikh persaraan itu adalah maklumat yang umum.

Beliau menyifatkan situasi sekarang agak ganjil kerana tiada gambaran jelas siapa yang akan menerajui tiga jawatan penting dalam institusi kehakiman iaitu Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan dan Hakim Besar Malaya.

“Tan Sri Hasnah yang memangku sekarang ini pun akan bersara dalam masa empat bulan. Jadi, kita amat mengharapkan agar hal ini dapat disegerakan supaya tidak berlaku masalah dari sudut proses pelaksanaan sistem keadilan dalam negara kita,” jelasnya.

Mengulas mengenai tempoh pemangkuan, beliau berkata, tiada peruntukan masa khusus yang perlu dipatuhi bagi mengisi kekosongan itu, namun pemangkuan tidak sepatutnya berlarutan.

Sehubungan itu, beliau menegaskan menjadi tanggungjawab kerajaan untuk tidak berlengah dalam urusan pelantikan kerana ia merupakan perkara yang sangat penting.