Legasi Tengku Maimun di sebalik jubah hitam

Iklan
Zamri (kanan) mendapatkan tandatangan kenang-kenangan Tengku Maimun ketika sesi santai bersama media di pejabat Ketua Hakim Negara pada 2023.

MENJADI wanita pertama di Malaysia yang duduk di kerusi panas Ketua Hakim Negara pada tahun 2019, sejak dari awal Tun Tengku Maimun Tuan Mat memang menjadi tumpuan ramai. Apatah lagi, di tangan Tengku Maimun bukan sedikit kes berprofil tinggi perlu dihakiminya.

Sejarah menyaksikan Tengku Maimun yang mengetuai lima panel hakim di Mahkamah Persekutuan pada tahun 2022 memikul tanggungjawab paling berat apabila menjadi penimbang tara terakhir yang pertama kali dalam sejarah Malaysia memenjarakan seorang bekas Perdana Menteri. Pada ketika itu, Tengku Maimun menjadi sasaran sebahagian besar ahli UMNO terutamanya pengikut tegar Datuk Seri Najib Tun Razak.

Iklan
Iklan

Pada tahun 2024, baton kemarahan ahli parti politik beralih pula kepada pengikut Pas. Ini kerana pada ketika itu, sekali lagi Tengku Maimun yang mengetuai barisan hakim Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa 16 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 adalah tidak sah dan terbatal kerana melampaui bidang kuasa negeri. Hamburan kata-kata seperti hakim sekular, liberal dan musuh hudud antara yang bergulir di media sosial ke atas Tengku Maimun.

Walaupun kaum Hawa sering dikaitkan dengan sikap lemah lembut atau mudah tersentuh, tetapi Tengku Maimun membuktikan betapa kental dan kuatnya prinsip beliau dalam menegakkan keadilan, undang-undang dan Perlembagaan negara.

Iklan

PENGHARGAAN PEGUAM

Maka tidak hairanlah pada hari terakhir sebelum beliau bersara pada 1 Julai lalu, beberapa peguam yang hadir dalam satu prosiding kes mahkamah memberi kata-kata ucapan selamat tinggal yang amat menyentuh hati.

Iklan

“Hari ini kita bukan sekadar menyaksikan tamatnya perkhidmatan seorang Ketua Hakim Negara, tetapi juga meraikan legasi luar biasa yang telah mengubah wajah kehakiman Malaysia secara menyeluruh.

“Tun (Tengku Maimun) bukan sahaja Ketua Hakim wanita pertama dalam sejarah negara, malah telah memperkukuhkan kembali maruah badan kehakiman yang pernah tercalar akibat krisis kehakiman 1988.

“Kepimpinan beliau telah memulihkan keyakinan awam terhadap institusi ini dan meletakkannya setaraf dengan kehakiman terbaik di Komanwel,” kata peguam Anand Raj yang juga Timbalan Presiden Majlis Peguam Negara.

Peguam Lim Wei Jiet pula menyifatkan Tengku Maimun sumber inspirasi kepada generasi baharu dalam bidang perundangan.

“Kesetiaan Tun (Tengku Maimun) terhadap Perlembagaan Persekutuan, kedaulatan undang-undang dan doktrin pengasingan kuasa telah mencetuskan semula kebangkitan semangat perundangan di negara ini,” katanya.

Peguam Raja Eileen Soraya Raja Aman yang turut hadir di galeri awam turut bangun berdiri secara spontan.

“Tolonglah tinggalkan pejabat dengan heads high kerana anda telah membolehkan kami juga untuk mendongak dengan bangga," katanya.

BERTEMU TENGKU MAIMUN

Sepanjang enam tahun bergelar Ketua Hakim Negara, seingat saya tidak ada media yang dapat mewawancara eksklusif bersama Tengku Maimun walaupun beliau sendiri mengaku menerima begitu banyak jemputan media terutamanya program bual bicara wanita.

Pun begitu, Tengku Maimun punya cara tersendiri untuk ‘memuaskan keghairahan’ pemberita yang masing-masing mahukan wawancara khas bersama beliau.

Seingat saya, menerusi pejabat Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun menjemput lebih 20 wartawan media baik stesen TV, akhbar dan portal untuk bertemu mata beramai-ramai di pejabat beliau pada Januari 2023.

Saya dan seorang Penolong Pengarang Berita Sinar Harian, Mohd Fazli Zainul Abidin antara yang diberi peluang dalam sesi santai itu.

Pada sesi tersebut, rombongan media terlebih dahulu dibawa ke kamar Mahkamah Persekutuan, bilik tahanan di mahkamah dan ruang hakim-hakim berdiskusi semasa membuat penghakiman di Istana Kehakiman.

Selepas itu, barulah kami dibawa ke Bilik Mesyuarat Kehakiman Negara untuk sesi ramah mesra bersama Ketua Hakim Negara.

Mengenakan baju kurung warna kelabu cair bermotif bunga dipadan dengan tudung rona sama yang polos, Tengku Maimun tersenyum menyambut kami di kepala meja di bilik mesyuaratnya.

Tengku Maimun membuka bicara dengan mengakui sesi tersebut adalah secara tertutup tanpa perlu liputan berita mahupun video. Ia diadakan untuk memenuhi begitu banyak permintaan media untuk menemu bual beliau.

Kata Tengku Maimun, tugas beliau sebagai Ketua Hakim Negara tidak mengizinkan beliau tampil dalam program-program bual bicara media baik di stesen TV mahupun akhbar.

Pada sesi tersebut, Tengku Maimun bijak membuka ruang gelanggang ramah mesra dengan meminta semua editor dan wartawan bertanya apa sahaja soalan, dengan syarat bukan untuk diberitakan. Maka bertalu-talulah soalan yang diajukan baik cabaran beliau sebagai ketua hakim, bagaimana beliau menjurikan kes-kes profil tinggi, sehinggalah bagaimana beliau membahagikan tugas sebagai seorang Ketua Hakim dan suri rumah tangga.

Antara yang saya ingat, Tengku Maimun mengakui beliau menerima banyak kritikan dan diberikan pelbagai label, malah ada serangan turut melibatkan ahli keluarganya. Tetapi katanya, tidak ada satu pun daripada kata-kata kecaman itu menggugat hati nuraninya kerana perlu berpegang kepada tugas beliau.

“Saya di sini untuk menjalankan tugas dan komited untuk melaksanakannya dengan betul. Saya tidak akan tunduk kepada mana-mana individu, tidak kira setinggi mana (kedudukan) mereka untuk melakukan apa yang dituntut daripada saya,” kata Tengku Maimun yang turut mengungkap perkara sama pada satu Majlis Pembukaan Tahun Perundangan awal tahun ini.

Menjawab persoalan tugas suri rumah, Tengku Maimun jujur mengakui bukanlah kerap memasak di rumah memandangkan hampir kebanyakan masa beliau perlu membawa balik kerja pejabat ke rumah. Tapi katanya, mujur ada saudaranya dari kampung di Kelantan yang sanggup bekerja dengan keluarga beliau untuk menguruskan hal-hal di rumah termasuklah memasak.

Selepas lebih sejam menjawab bertalu-talu soalan dengan penuh sabar dan senyuman, wanita berasal dari Kota Bharu itu kemudian tidak menolak pula permintaan editor dan wartawan bergambar beramai-ramai dan berfoto eksklusif berdua. Malah, ramai juga yang sempat merakamkan kenangan mendapatkan nota dan tandatangan beliau di dalam buku yang dibekalkan.

Walaupun tidak dapat menemu bual dan memotretkan pelbagai kisah Tengku Maimun di media masing-masing, saya percaya ramai editor yang hadir pada hari itu, pulang dengan senyuman apabila mendapat momen manis bertemu Tengku Maimun.

Walaupun pada kebanyakan masa di dalam mahkamah Tengku Maimun tampil berwajah serius dan tegas, namun di pejabatnya hari itu kami melihat sisi berbeza wanita besi berkenaan yang tidak lokek dengan senyuman dan sangat ramah berbicara.

Meskipun sudah mengakhiri tugasnya secara rasmi pada awal minggu ini, Tengku Maimun tetap akan diingati sebagai figura inspirasi dalam sejarah kehakiman Malaysia daripada akar dalam perkhidmatan undang-undang hingga ke puncak badan kehakiman. Beliau dikenang sebagai wanita yang berani, tegas dan mewakili prinsip keadilan sejati tanpa mengira tekanan.

* Zamri Ramli ialah Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian