SHAH ALAM - Kebisuan berpanjangan kerajaan dalam mengumumkan pelantikan Ketua Hakim Negara yang baharu berisiko menjejaskan keyakinan awam terhadap kebebasan badan kehakiman.
CSO Platform for Reform dalam satu kenyataan berkata, seperti telah ditegaskan oleh Majlis Peguam Malaysia, kelewatan dan kurang telus mencerminkan corak bermasalah masa lalu termasuk dominasi eksekutif menjejaskan kredibiliti institusi.
Menurut kenyataan itu, bagaimanapun pihaknya menyokong pandangan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat bahawa pelantikan Ketua Hakim Negara tidak seharusnya dibuat oleh Perdana Menteri.
"Kami turut menyatakan sokongan terhadap proses yang lebih bebas dan telus.
"Dalam ucapan terakhir Tun Tengku Maimun sempena Pembukaan Tahun Perundangan 2025, beliau menegaskan bahawa badan kehakiman mesti setia hanya kepada Perlembagaan dan keluhuran undang-undang.
"Beliau turut menyeru para hakim untuk kekal berpegang kepada prinsip dan preseden perundangan serta menjauhkan diri daripada unsur politik," katanya pada Jumaat.
CSO Platform for Reform turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Tengku Maimun sempena tamatnya tempoh perkhidmatan sebagai Ketua Hakim Negara.
Jelasnya, sebagai wanita pertama menerajui badan kehakiman negara, beliau telah mencatat sejarah dan menjadi contoh kepimpinan berprinsip yang amat dihormati.
"Sepanjang perkhidmatan, beliau menonjolkan komitmen teguh terhadap keluhuran undang-undang menerusi beberapa keputusan penting di Mahkamah Persekutuan, termasuk dalam kes berprofil tinggi melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Antara keputusan penting lain di bawah kepimpinan beliau termasuklah penghakiman Mahkamah Persekutuan yang mengesahkan hak ibu warganegara Malaysia untuk mewariskan kewarganegaraan kepada anak-anak dilahirkan di luar negara.
"Legasi beliau telah mengukuhkan peranan badan kehakiman sebagai institusi bebas dan semak imbang penting terhadap kuasa eksekutif serta akan terus menjadi sumber keyakinan terhadap sistem perundangan negara untuk generasi akan datang," ujarnya.
Tambah kenyataan itu, kini pelantikan pengganti Tengku Maimun terletak di tangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Sehubungan itu, kami menyeru semua institusi berkaitan agar menegakkan tahap integriti dan meritokrasi tertinggi dalam memastikan peralihan kepimpinan kehakiman berjalan lancar dan berprinsip.
"Pelantikan ini membawa implikasi perlembagaan yang besar dan tidak seharusnya dijadikan isu bersifat politik semata-mata," katanya.