KOTA BHARU – Sikap sebenar seorang pembantu rumah kepada seorang pengasas kosmetik di Kelantan terbongkar apabila wanita berkenaan melarikan diri bersama barangan berjenama milik majikannya dalam kejadian pada Selasa lalu.
Mangsa, Nuramiera Mustapa, 28, berkata, pembantu rumah warga Indonesia yang dipanggil 'Bibik' itu bukan sahaja menghilangkan diri, malah turut membawa lari pakaian, beg tangan dan kasut berjenama miliknya yang dianggarkan bernilai lebih RM6,000.
Menurutnya, pembantu rumah berusia 40 tahun yang diambil daripada ejen sah itu telah menunjukkan sikap sambil lewa dalam menjalankan tugas sejak empat bulan lalu, termasuk membiarkan rumah dalam keadaan kotor, bersawang dan berhabuk.
"Saya pernah menegurnya kerana terlalu leka dengan telefon bimbit dan sering membuat 'live' di TikTok hampir setiap malam.
"Saya dapati dia lebih banyak habiskan masa dengan telefon daripada melakukan kerja rumah,” katanya ketika dihubungi pada Jumaat.
Tambah ibu kepada dua anak itu, pembantu rumah terbabit merupakan ibu tunggal kepada empat orang anak dan dipercayai berasal dari Acheh Barat.
“Dia selalu berhubung dengan rakan senegara dan saya difahamkan dia juga mempunyai teman lelaki.
"Saya tak kisah jika dia ada kawan, malah saya benarkan dia buat panggilan video dengan keluarga dan saya sendiri pernah berbual dengan mereka.
“Tapi saya amat kecewa apabila dia tidak menggunakan kepercayaan itu dengan baik.
"Malah, bilik tidurnya dipenuhi sampah walaupun telah saya tegur berkali-kali supaya tidak makan dan minum di dalam bilik,” jelas Nuramiera.
Menurutnya, sebelum kejadian, wanita berkenaan juga pernah cuba menyembunyikan MyKad suaminya, Mohd Arif Mohd Satar, 34, namun perbuatannya sempat disedari.
Walaupun kesal, Nuramiera tetap menghargai penjagaan anak-anak yang diberikan oleh wanita itu selama sembilan bulan berkhidmat bersama keluarganya.
“Kami tak pernah abaikan kebajikan bibik. Malah, saya dan suami pernah hadiahkan rantai dan cincin sebagai tanda penghargaan terhadap jasanya menjaga anak-anak kami yang ketika itu berusia enam tahun dan sembilan bulan.
“Tapi malangnya, kepercayaan itu dikhianati. Kami sedih dan terkilan kerana selama ini anggap dia seperti keluarga sendiri,” katanya.
Ditanya sama ada beliau telah membuat laporan polis, Nuramiera menjelaskan bahawa beliau memilih untuk tidak berbuat demikian.
“Saya anggap ini sebagai ujian hidup. Kami reda, dan doakan dia pulang ke keluarganya dengan selamat,” katanya.
Beliau dimaklumkan bahawa pembantu rumah berkenaan kini dipercayai berada di kampung halamannya di Acheh.