SHAH ALAM - Seramai lebih 1,000 graduan Akademi Vokasional McDonald’s Malaysia diraikan dalam Majlis Konvokesyen Kali Ke-5 yang berlangsung di IDCC Shah Alam pada Isnin.
Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Datuk Azmir Jaafar berkata, sejak penubuhannya tujuh tahun lalu, lebih 5,000 graduan telah dilahirkan menerusi program perantis vokasional anjuran syarikat itu.
“Melalui Akademi Vokasional McDonald’s Malaysia, kami bukan sekadar menawarkan peluang pekerjaan semata-mata, tetapi membentuk institusi pembelajaran sepanjang hayat untuk belia.
“Lebih membanggakan, 80 peratus daripada graduan memilih untuk terus membina kerjaya bersama McDonald’s Malaysia menerusi Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) dan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM),” katanya ketika berucap pada Majlis Konvokesyen Kali ke-5 Akademi Vokasional McDonald’s Malaysia yang berlangsung di IDCC Shah Alam, pada Isnin.
Turut hadir Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang mewakili Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh dan Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Azman Adnan.
Beliau turut menjelaskan bahawa kebanyakan peserta terdiri daripada golongan B40, asnaf, Orang Asli, orang kurang upaya (OKU) serta mereka yang tidak berpeluang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
“Mereka diberi peluang untuk membina potensi diri dan kerjaya sehingga ada yang kini memegang jawatan sebagai pengurus restoran dan pakar industri di ibu pejabat.
“Ini bukan sahaja bermanfaat kepada syarikat, tetapi turut membantu meningkatkan taraf sosioekonomi mereka untuk keluar daripada kitaran kemiskinan,” katanya.
Menurutnya, setiap perantis ditaja sepenuhnya oleh McDonald’s Malaysia dengan peruntukan kira-kira RM40,000 bagi setiap peserta sepanjang program berlangsung.
“Mereka menerima elaun bulanan, kemudahan tempat tinggal, makan minum, perlindungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta faedah insurans dan rawatan perubatan tanpa sebarang ikatan kontrak selepas tamat pengajian,” ujarnya.
Azmir turut memaklumkan bahawa McDonald’s Malaysia telah menjalinkan kerjasama strategik bersama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bagi program Ijazah Sarjana Pengurusan Perniagaan (MBA) di Azman Hashim International School of Business dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bagi program Ijazah Sarjana Muda Industri Perkhidmatan Makanan (Kepujian) sebagai usaha meningkatkan kebolehpasaran graduan dan pelajar institusi itu.
“Pelbagai kerjasama dengan universiti lain juga dilaksanakan melalui tiga program utama iaitu Program Perantis Pengurusan (MAP), Program Kebolehpasaran Kerja Graduan (GEP) dan Program Perantisan Industri (IP),” katanya.
“Pelaburan ini bertujuan memantapkan kemahiran pengurusan, kepemimpinan dan kemahiran lain bagi memastikan kakitangan kami kekal berdaya saing dan berprestasi tinggi dalam industri,” jelasnya.
Sementara itu, Rubiah berkata, pendekatan pendidikan sambil bekerja yang diamalkan McDonald’s Malaysia selari dengan matlamat kerajaan memperluas akses pendidikan berorientasikan industri.
“Inilah yang kita harapkan kerana bukan sahaja mencerdikkan dan memahirkan seseorang, malah mengubah sosioekonomi hidup mereka ke arah yang lebih baik.
“Langkah ini juga memperkukuh jaringan kerjasama antara institusi latihan dan industri, sekaligus meningkatkan peluang pekerjaan untuk belia,” katanya.
Program Perantis Vokasional McDonald’s Malaysia merupakan kerjasama dengan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), melalui Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN).
Kurikulum program ini merangkumi 70 peratus latihan praktikal di restoran dan 30 peratus pembelajaran teori dalam kelas.
Program turut menyasarkan pelajar seawal lepasan tingkatan tiga melalui kolaborasi dengan kolej vokasional di bawah Bahagian Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (BPLTV), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Selain itu, McDonald’s Malaysia juga membangunkan bakat pekerja melalui Hamburger U, sebuah institusi latihan dan kemahiran dalaman yang menawarkan kursus dalam bidang pentadbiran, kepimpinan dan pengurusan restoran.
McDonald’s Malaysia bantu teruskan impian dan cita-cita
Bagi penerima Anugerah Perantis Cemerlang Keseluruhan, Raidi Hamizan Rozki, 18, berharap anugerah yang diterimanya akan menjadi contoh terbaik kepada dua lagi adik beradiknya.
"Saya bercita-cita menjadi tenaga pengajar untuk program ini pada masa depan dalam sama-sama membantu dan melahirkan tenaga mahir diperlukan negara," ujarnya merupakan ketua kru di salah sebuah restoran McDonald's.
Sementara itu, Muhammad Hfiy Haikal Ruslan, 18, pula menzahirkan penghargaan kepada McDonald’s Malaysia yang memberikan peluang kepadanya selepas gagal dalam permohonan kolej vokasional dalam bidang kulinari.
"Sebelum ini, saya pernah terlibat dalam kemalangan dan terpaksa berehat selama tiga bulan termasuk koma. McDonald’s Malaysia tetap memberikan peluang kepada untuk menamatkan pengajian dalam program ini," katanya.
Peluang bekerja selama dua tahun di McDonald’s Malaysia memberi inspirasi kepada pelajar orang kurang upaya (OKU) autistik, Nur Farrah Adibah Razali, 21 untuk menyambung pelajaran dalam bidang penyediaan makanan.
“Saya keluar dari zon selesa dan bangkit untuk mengubah nasib keluarga menambah pendapatan,” kata anak ketiga dari enam beradik itu.
Sementara itu graduan orang asli, Wak Jenny Azman, 21, berkata, peluang menyertai akademi itu membolehkan dirinya belajar sambil bekerja sekali gus membantu meringankan beban keluarga di kampung.
“Saya dahulu hanya duduk di rumah tanpa pekerjaan, tapi program ini beri saya pengalaman, kenal kawan baru dan kini saya bertugas sebagai ketua kru restoran,” katanya.
Beliau berminat untuk meneruskan karier bidang itu selepas mengikuti sesi motivasi anjuran pihak McDonald’s Malaysia di Perak.