KUANTAN – Tiga individu iaitu seorang kerani wanita, jururawat dan peniaga warga emas menjadi mangsa sindiket penipuan pelaburan tidak wujud dalam talian sehingga kerugian keseluruhan mencecah RM942,471.
Penipuan dilakukan melibatkan modus operandi berbeza, namun menggunakan platform dalam talian sebagai medium untuk memperdaya mangsa.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, kes pertama membabitkan seorang kerani wanita sebuah institusi kewangan berusia 49 tahun.
Menurutnya, mangsa melayari laman sosial Facebook pada 12 Jun lalu dan tertarik dengan iklan pelaburan yang diiklankan di aplikasi itu.
"Mangsa telah berhubung dengan suspek sebelum diberitahu tentang peluang pelaburan secara pembelian barangan jenama terkenal melalui platform yang disediakan.
"Mangsa berminat lalu menyertai pelaburan itu dan menerima pulangan awal RM835 hasil RM30,563 yang dilaburkan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Yahaya berkata, yakin dengan pulangan daripada pelaburan itu, mangsa mula menambah pembelian dengan keuntungan pelaburan mencecah 'RM438,748'.
"Bagaimanapun mangsa perlu membayar 18 peratus daripada keuntungan pelaburan itu sebagai cukai.
"Teruja dengan wang besar bakal diterima, mangsa menggunakan wang simpanan RM106,071 untuk bayaran itu melalui 14 transaksi ke lapan akaun bank berbeza sebelum menyedari ditipu," katanya.
Dalam kejadian lain, jururawat berusia 39 tahun kerugian RM634,400 ditipu kenalan maya yang dikenali melalui aplikasi WhatsApp pertengahan Mac lalu.
Yahaya berkata, suspek menawarkan mangsa peluang pekerjaan di luar negara sebelum memujuk wanita itu melabur dalam satu skim pelaburan yang menawarkan pulangan sehingga 10 peratus setiap hari.
"Mangsa berminat menyertainya sebelum suspek memintanya membuat pelaburan melalui satu laman sesawang disyaki palsu.
"Dalam tempoh 24 Mei hingga 29 Jun lalu, mangsa telah melakukan pemindahan wang secara berperingkat ke dalam 10 akaun bank berbeza, melibatkan jumlah keseluruhan RM634,400," katanya.
Beliau berkata, selain wang simpanan, mangsa juga dipercayai membuat pinjaman bank untuk menyertai pelaburan tersebut.
"Mangsa menyedari ditipu selepas pautan platform pelaburan tersebut tidak lagi diakses dan tiada sebarang pulangan diterima," katanya.
Sementara itu, dalam kes berasingan, peniaga lelaki berusia 67 tahun rugi RM202,000 apabila turut menjadi mangsa iklan pelaburan tidak wujud yang diiklankan di lFacebook.
"Mangsa telah memuat turun aplikasi pelaburan melalui Google Play dan mendaftar sebagai peserta.
"Tertarik dengan tawaran untung lumayan, mangsa telah membuat pembayaran modal pelaburan melalui tujuh transaksi ke dua akaun bank berbeza dalam tempoh 29 Mei hingga 19 Jun lalu dengan jumlah keseluruhan RM202,000," katanya.
Jelas beliau, mangsa syak ditipu apabila diminta membayar cukai RM147,833 ketika cuba membuat pengeluaran keuntungan RM100,000 seperti yang tertera dalam aplikasi pelaburan tersebut.