Militan Bangladesh kutip RM500 setahun biayai kegiatan ekstremis di Syria, Bangladesh

Iklan
Mohd Khalid ketika sidang akhbar di Bukit Aman pada Jumaat

KUALA LUMPUR – Yuran keahlian sebanyak RM500 setahun antara modus operandi dikesan dalam aktiviti pengganas kumpulan militan Gerakan Militan Radikal Bangladesh (GMRB) yang menyusup masuk secara rahsia ke negara ini dan beroperasi dalam kalangan pekerja asing.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, seramai 36 individu warga Bangladesh berusia lingkungan 25 hingga 35 tahun ditahan dalam tiga fasa serbuan di Selangor dan Johor selepas kegiatan mereka dikesan melalui alamat internet tempatan yang aktif menyebarkan fahaman keganasan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kumpulan ini dipercayai telah bergerak aktif sejak setahun lalu dan dikesan menjadikan Malaysia sebagai pusat pengumpulan dana serta tempat merekrut ahli.

"Kumpulan ini tidak menyasarkan Malaysia sebagai medan serangan, tetapi menjadikan negara ini sebagai tapak pengkaderan.

Iklan

"Mereka bergerak secara sulit menggunakan aplikasi seperti WhatsApp dan Telegram bagi menyebarkan propaganda, melaksanakan proses baiah (sumpah setia) dan perjumpaan ahli secara rahsia," katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman, di sini pada Jumaat.

Katanya lagi, ahli yang melafazkan baiah secara dalam talian akan dilantik sebagai ketua sel baharu untuk memperluas pengaruh kumpulan.

Iklan

"Dana operasi disalurkan melalui pelbagai saluran termasuk Touch ‘n Go, BeCash dan sistem penghantaran wang antarabangsa selain daripada kutipan yuran tahunan RM500 dan sumbangan derma secara sukarela daripada ahli.

"Dana itu disalurkan kepada kumpulan keganasan di Syria dan Bangladesh, dan dalam soal ini, kita sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa Bangladesh serta Interpol bagi mengesan aliran kewangan dan rangkaian mereka di luar negara," katanya.

Beliau berkata, dalam operasi fasa pertama pada 28 April, enam individu ditahan di sekitar Selangor, sekali gus mendedahkan struktur awal kumpulan ini yang berpangkalan di Johor.

"Fasa kedua operasi dijalankan pada 7 Mei di Johor dan kita berjaya menahan 14 lagi suspek termasuk ketua kumpulan GMRB.

"Fasa ketiga pula dilaksanakan pada 19 hingga 21 Jun lalu dan 16 individu lagi ditahan, menjadikan jumlah keseluruhan tangkapan kepada 36 orang serta menutup rangkaian utama GMRB di negara ini," katanya.

Menurutnya, lima daripada mereka telah didakwa di bawah Seksyen 6A Kanun Keseksaan kerana menyertai organisasi pengganas dan menyebarkan fahaman ekstremis.

"Seramai 16 lagi masih ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) untuk siasatan dan pendakwaan lanjut.

"Manakala 15 individu yang terlibat secara minimum akan dihantar pulang ke negara asal," katanya.

Tambah beliau, GMRB menyasarkan komuniti warga Bangladesh yang bekerja di sektor buruh seperti kilang, tapak binaan dan stesen minyak sebagai sasaran utama perekrutan dan penanaman ideologi.

"Fahaman radikal ini mula menular dalam kalangan komuniti pekerja asing tanpa disedari majikan, ia satu ancaman yang tidak boleh dipandang ringan.

"Tiada rakyat Malaysia dikenal pasti terlibat dalam rangkaian ini setakat ini, namun pemantauan dan siasatan akan diteruskan secara menyeluruh bagi memastikan tiada unsur ancaman menular ke dalam masyarakat tempatan," katanya.

Katanya, siasatan awal mendapati kira-kira 100 hingga 150 individu dipercayai telah terlibat dalam kumpulan ini di Malaysia.

"Keselamatan negara adalah keutamaan tertinggi dan kita tidak akan berkompromi dalam isu membabitkan keganasan.

"Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang cuba menjadikan Malaysia sebagai tempat berlindung, transit atau pangkalan operasi keganasan antarabangsa," katanya.

Mohd Khalid turut menyeru orang ramai supaya lebih peka terhadap persekitaran dan melaporkan segera kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat sebarang aktiviti mencurigakan.