JOHOR BAHRU - Seorang pengarah syarikat logistik dan pengangkutan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas pertuduhan pecah amanah tahun lalu.
Tertuduh, Sahela Abdul Rahim, 41, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.
Mengikut pertuduhan, Sahela didakwa melakukan perbuatan tersebut pada 10 Jun tahun lalu iaitu secara tidak jujur melupuskan tiga unit kepala lori milik syarikatnya bernilai RM150,000 di pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Taman Daya.
Tindakan tertuduh itu didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun serta sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Peguam bela tertuduh, Khairul Azwad Sariman, memohon agar mahkamah menawarkan jaminan munasabah atas alasan anak guamnya merupakan seorang ibu kepada tiga anak yang masih bersekolah dan berpendapatan RM4,000 sebulan.
Menurutnya, siasatan terhadap kes berkenaan telah bermula sejak tahun lalu dan tertuduh memberikan kerjasama termasuk hadir memberi keterangan kepada SPRM setiap bulan.
“Tertuduh juga memberi jaminan akan hadir pada setiap tarikh perbicaraan yang ditetapkan,” katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dan menetapkan 19 September ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Muhammad Asraf Mohamed Tahir.