KEJADIAN tiga kenderaan menghalang laluan di Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan berhampiran Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Pedas-Linggi yang videonya tular di media sosial pada Rabu lalu menimbulkan persoalan besar – lebuh raya ini milik siapa?
Insiden tular berkenaan yang dirakam oleh pengguna jalan raya yang kebetulan melalui lokasi kejadian menunjukkan tindakan pemandu tiga kenderaan terbabit berhenti secara melintang di laluan lebuh raya sehingga menyebabkan ketiga-tiga lorong tidak dapat dilalui kenderaan lain.
Pergerakan trafik yang terhalang sepenuhnya jelas boleh mencetuskan risiko kemalangan kepada pengguna lain yang berada di belakang.
Rakaman berdurasi 35 saat itu turut mencetuskan kemarahan dan tanda tanya orang ramai yang mempersoalkan keberanian pihak terlibat bertindak sedemikian di lebuh raya awam tanpa memikirkan keselamatan pengguna lain.
Polis kini mengesan pemilik ketiga-tiga kenderaan terbabit untuk membantu siasatan di bawah beberapa peruntukan undang-undang termasuk Seksyen 279 dan 341 Kanun Keseksaan serta Seksyen 48 Akta Pengangkutan Jalan 1987, kata Ketua Polis Daerah Rembau, Superintenden Hasani Hussain.
Susulan itu, polis berjaya menahan seorang daripada pemilik kenderaan tersebut di sekitar Seremban kira-kira jam 12.30 tengah malam Rabu.
Suspek dikenal pasti sebagai ejen tarik kereta dan bertindak sedemikian kerana mahu menarik sebuah kereta, manakala suspek lain yang masih bebas sedang diburu.
Tindakan sesuka hati menghentikan kenderaan di tengah lebuh raya bukan sahaja melanggar undang-undang, malah menunjukkan kegagalan dalam mematuhi etika pemanduan dan tanggungjawab sivik.
Lebuh raya ialah laluan berkelajuan tinggi yang menuntut disiplin pemanduan tinggi. Apabila laluan utama dijadikan ‘tapak urusan peribadi’, maka nyawa pengguna lain turut dipertaruhkan.
Pihak berkuasa perlu mengambil pendekatan lebih tegas dan pantas melalui penguatkuasaan aktif. Rondaan, kamera pemantau dan sistem aduan awam perlu diperluaskan.
Orang ramai juga harus cakna dan berani melaporkan kejadian seperti itu. Rakaman kamera papan pemuka dan video pengguna jalan raya kini terbukti menjadi bahan bukti penting untuk tindakan undang-undang.
Masyarakat perlu faham bahawa lebuh raya bukan milik individu, tetapi merupakan ruang awam yang perlu dikongsi dengan penuh tanggungjawab.
Selagi ada pihak yang mementingkan diri dan beranggapan mereka ‘lebih berhak’ atas jalan raya, selagi itulah keselamatan orang lain akan terus digadai.
Undang-undang hanya berkesan jika dipatuhi dan dikuatkuasakan secara konsisten.