Dunia hadapi krisis kemanusiaan baharu

Iklan
Sebelum ini USAID menyumbang lebih 40 peratus dana kemanusiaan global dan memainkan peranan penting dalam mencegah penyakit berjangkit di negara membangun. Foto AFP

PEMOTONGAN besar-besaran dana bantuan luar Amerika Syarikat (AS) di bawah pentadbiran Donald Trump dijangka membawa kesan kemanusiaan amat dahsyat menjelang 2030.

Menurut kajian diterbitkan dalam jurnal perubatan The Lancet, lebih 14 juta nyawa termasuk lebih 4.5 juta kanak-kanak bawah lima tahun berkemungkinan terkorban akibat tindakan penamatan program bantuan oleh Agensi Pembangunan Antarabangsa Amerika Syarikat (USAID).

Iklan
Iklan

Angka itu menandakan satu bencana kesihatan global yang setanding dengan pandemik besar atau konflik bersenjata berskala dunia.

Sebelum ini USAID menyumbang lebih 40 peratus dana kemanusiaan global dan memainkan peranan penting dalam mencegah penyakit berjangkit di negara membangun.

Iklan

Sejak 2001 hingga 2021, agensi itu dianggarkan telah menyelamatkan hampir 92 juta nyawa, menurut penulis bersama kajian, Davide Rasella dari Institut Kesihatan Global Barcelona (ISGlobal). Ini melebihi jumlah kematian sepanjang Perang Dunia Kedua, menandakan betapa besarnya impak bantuan yang kini sedang digugurkan.

Salah satu aspek paling menggerunkan ialah kebangkitan semula penyakit seperti HIV/AIDS, malaria dan penyakit tropika terabai.

Iklan

Negara yang menerima sokongan tinggi daripada USAID menunjukkan kadar kematian akibat HIV/AIDS berada pada tahap 65 peratus lebih rendah berbanding negara tanpa bantuan.

Begitu juga kematian akibat malaria berkurang hampir separuh, menggambarkan keberkesanan intervensi yang kini tergugat.

Kesan tidak hanya terhad kepada aspek kesihatan. Kajian juga menunjukkan, pemotongan tersebut boleh mengakibatkan keruntuhan sistem kesihatan awam yang memerlukan masa puluhan tahun untuk dibina.

Francisco Saute dari Pusat Penyelidikan Kesihatan Manhica di Mozambique menyatakan, USAID bukan sekadar memberi dana tetapi juga menyokong pembangunan infrastruktur perubatan yang kritikal.

Tambahan pula alat pemantauan terkini oleh penganalisis penyakit Brooke Nichols dari Universiti Boston menunjukkan lebih 330,000 kematian iaitu termasuk 224,000 kanak-kanak sudah berlaku akibat pemotongan yang sedang berjalan. Ini bermakna purata 88 orang mati setiap jam sejak bantuan itu dikurangkan.

Lebih membimbangkan, tindakan AS diikuti beberapa negara penderma utama lain seperti Perancis, Jerman dan United Kingdom yang turut mengumumkan pemotongan bajet bantuan mereka.

Ini bakal meluaskan kesan bencana kemanusiaan ke lebih banyak kawasan terutama di Afrika, Asia Selatan dan beberapa negara Timur Tengah yang bergantung kepada dana luar.

Walaupun krisis ini nampaknya didorong oleh keputusan politik, ia sebenarnya membabitkan nilai kemanusiaan sejagat.

Kajian menunjukkan hanya 0.3 peratus bajet kerajaan AS digunakan untuk USAID, bersamaan sekitar 64 dolar AS (RM300) setahun atau 17 sen sehari setiap rakyat.

Namun sumbangan kecil ini mampu menyelamatkan jutaan nyawa setiap tahun iaitu sesuatu yang ramai pembayar cukai mungkin tidak sedar.

Ironinya, ketika lebih 100 pemimpin dunia berkumpul di Seville, Sepanyol minggu ini untuk persidangan bantuan terbesar dalam sedekad, AS tidak menghadiri mesyuarat tersebut.

Keengganan Washington untuk menyertai dialog global memperlihatkan bagaimana dasar luar negara itu telah berubah secara drastik. Ini sekali gus mencetuskan keraguan terhadap komitmen AS terhadap solidariti antarabangsa.

Para penyelidik menegaskan bahawa kesan ini masih boleh dibendung sekiranya komuniti global bersatu dan segera meningkatkan komitmen bantuan.

Jika bantuan dipulihkan segera, jumlah kematian boleh dikurangkan secara signifikan sebelum 2030.

Dalam dunia yang semakin bergantung antara satu sama lain, keputusan unilateral untuk mengurangkan bantuan kemanusiaan bukan sahaja tidak beretika, tetapi juga mencetuskan ketidakstabilan yang boleh memberi kesan kepada keselamatan global.

Negara-negara membangun bukan hanya memerlukan dana, tetapi juga solidariti dan penghormatan terhadap hak untuk hidup yang sihat.

Potongan ini bukan sekadar pemotongan bajet dan ia adalah pengkhianatan terhadap prinsip asas kemanusiaan.

* Zulhilmi Hat ialah Wartawan Meja Global Sinar Harian