MAHASISWA bukan sekadar penuntut yang menimba ilmu di menara gading. Mereka nadi perubahan sosial, barisan hadapan dalam perjuangan menuntut keadilan dan suara hati nurani rakyat.
Dalam sejarah panjang politik Malaysia, gerakan mahasiswa telah membuktikan bahawa mereka mampu mencorakkan hala tuju negara, memimpin kesedaran massa dan mencetuskan gelombang reformasi.
Dari era 1970-an hingga Reformasi 1998, mahasiswa menjadi trend setter dalam melawan ketidakadilan. Hari ini mereka terus bangkit dan kebangkitan itu perlu diraikan.
Namun, di tengah-tengah semangat juang yang membara, muncul pula satu persoalan besar perlu direnungi bersama — adakah cara mahasiswa menyuarakan pendirian hari ini benar-benar mewakili suara seluruh mahasiswa?
Apakah tindakan simbolik yang ekstrem seperti membakar patung pemimpin dan melontar kata-kata kesat merupakan suara majoriti mahu perubahan berhemah atau sekadar luapan emosi segelintir yang kecewa?
Mahasiswa ialah generasi intelektual yang seharusnya tampil dengan keberanian bijaksana. Keberanian bukan semata-mata dalam jeritan di jalanan tetapi juga dalam keupayaan berhujah, memimpin wacana dan menawarkan penyelesaian.
Dalam konteks demokrasi matang, suara mahasiswa sangat penting — tetapi ia mesti disalurkan secara strategik dan berintegriti agar tidak ditenggelami oleh persepsi negatif.
Sebagai contoh, Himpunan Gempur Rasuah Sabah 2.0 yang menyaksikan aksi membakar patung Perdana Menteri dan penggunaan kata-kata kesat mencetuskan pelbagai reaksi.
Aksi itu mungkin mencerminkan kemarahan dan kekecewaan sebahagian mahasiswa tetapi ia juga membuka ruang kepada pihak yang mahu memperlekeh perjuangan ikhlas mahasiswa.
Tindakan sebegitu tidak membantu memperkukuh kredibiliti gerakan, malah memberi peluru kepada mereka yang mahu menuduh mahasiswa sebagai tidak berdisiplin dan tidak tahu adab bersuara.
Sebaliknya, perjuangan mahasiswa tidak harus kehilangan arah daripada semangat asalnya — yakni memperjuangkan nasib rakyat marhaen, menuntut ketelusan dan mempertahankan keadilan sosial.
Dalam hal ini, tokoh seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa zaman mahasiswa boleh dijadikan teladan.
Beliau turun ke lapangan, mendengar rintihan petani dan golongan miskin, memimpin gerakan dengan hujah dan nilai. Tiada patung dibakar. Tiada kata kesat tetapi perjuangan beliau tetap menggegarkan sistem, menggugat status quo dan memberi kesan besar kepada politik negara.
Kebangkitan mahasiswa harus dilihat sebagai isyarat bahawa generasi muda tidak rela menjadi penonton. Mereka mahu didengar. Mereka mahu dihormati.
Maka, suara itu perlu terus diberikan ruang tetapi pada masa sama, mahasiswa juga harus bertanya kepada diri mereka sendiri — apakah bentuk suara mahu dibawa?
Apakah cara yang kita guna mewakili suara majoriti mahasiswa? Atau adakah kita hanya memperlihatkan bentuk kemarahan yang tidak membawa makna kolektif?
Sejarah telah mengajar kita bahawa perubahan besar boleh dimulakan oleh sekelompok anak muda yang berani.
Bagaimanapun, sejarah juga menunjukkan tanpa kebijaksanaan dan nilai, perubahan itu boleh diperalat serta diseleweng. Maka, mahasiswa harus terus bangkit, bersuara dan mencabar status quo — tetapi dengan cara membina, bukan meruntuhkan.
Kerajaan Madani hari ini telah menunjukkan komitmen terhadap demokrasi dengan memansuhkan akta permit untuk perhimpunan. Ia bukti bahawa Malaysia masih meraikan kebebasan bersuara dan hak untuk memprotes.
Namun, mahasiswa perlu bijak dalam menggunakan ruang ini bagi memperjuangkan isu yang benar-benar membawa manfaat kepada rakyat. Malaysia memerlukan mahasiswa yang berani tetapi waras, lantang tetapi santun, progresif tetapi berprinsip.
Suara mahasiswa perlu terus bergema tetapi biarlah gema itu membawa harapan, bukan sekadar kemarahan. Demi masa depan bangsa, biarlah suara mahasiswa menjadi cahaya yang memandu, bukan api membakar tanpa arah.
* Datuk Ismail Yusop ialah Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM)