KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) mendesak Perdana Menteri memberikan penjelasan segera kepada rakyat berhubung kelewatan melantik Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan secara tetap.
Ketua Whip Ahli Parlimen PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, PN turut menuntut agar Perdana Menteri menafikan secara terbuka sebarang niat untuk campur tangan dalam kebebasan institusi kehakiman negara.
“PN turut menggesa supaya proses pelantikan tetap bagi Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan disegerakan mengikut lunas Perlembagaan serta kelaziman konstitusional,” katanya dalam kenyataan pada Khamis
Beliau berkata demikian susulan pelantikan Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim, sebagai pemangku dua jawatan tertinggi kehakiman negara iaitu Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan secara serentak.
Menurutnya, tindakan tersebut amat janggal, luar biasa dan tidak pernah berlaku dalam sejarah perundangan negara.
“Perkembangan ini menimbulkan persoalan besar tentang keutuhan sistem pemisahan kuasa dan kebebasan institusi kehakiman yang menjadi asas kepada prinsip kedaulatan undang-undang dalam mana-mana negara demokrasi,” katanya.
PN turut mempersoalkan tindakan kerajaan yang dilihat seolah-olah mengesahkan secara rasmi niat untuk tidak melanjutkan perkhidmatan bekas Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan yang bersara wajib beberapa hari lalu.
“Kegagalan Perdana Menteri mengambil tindakan segera dan sewajarnya dalam urusan pelantikan ini mengundang persepsi wujud unsur campur tangan, pengabaian disengajakan, atau lebih buruk lagi perancangan tersembunyi untuk mempengaruhi sistem kehakiman,” katanya.
Kenyataan itu turut mempersoalkan motif di sebalik kekosongan jawatan ketua cabang kehakiman yang dibiarkan berlarutan, tatkala Perdana Menteri ketika ini telah mengetuai cabang eksekutif dan legislatif secara mutlak.
“Apakah ini satu lagi langkah terancang untuk menyempurnakan pengaruh penuh ke atas semua cabang kuasa kerajaan, sekaligus mencabul prinsip pengasingan kuasa?” soal Takiyuddin.
Justeru, beliau menegaskan bahawa kebebasan kehakiman bukan sahaja mesti wujud, tetapi juga perlu dilihat wujud.
Katanya, kegagalan kerajaan untuk menyegerakan pelantikan tetap hanya akan terus menghakis keyakinan rakyat terhadap keluhuran undang-undang dan institusi keadilan.
“Situasi ini pasti akan membawa kepada kelewatan proses perundangan, dan seperti kata pepatah, ‘keadilan yang lambat ditegakkan adalah keadilan yang dinafikan’,” katanya.
PN turut mengingatkan bahawa institusi kehakiman merupakan tonggak dan benteng terakhir dalam mempertahankan hak rakyat dan menjamin keadilan tanpa rasa takut atau pilih kasih.
“PN menggesa semua pihak, terutamanya pihak berkuasa, supaya tidak mengorbankan prinsip ini demi percaturan politik atau agenda sempit kuasa,” katanya.