SHAH ALAM – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menggariskan empat reformasi utama bagi menangani cabaran struktur dan ketidakseimbangan agihan tenaga kerja kesihatan negara.
Antara langkah itu ialah transisi penamatan sistem doktor kontrak secara berfasa, pelaksanaan mandat mobilisasi dan agihan semula petugas, pengukuhan program latihan siswazah serta pemerkasaan kebajikan petugas kesihatan.
"Penamatan sistem doktor kontrak secara berfasa bagi Pegawai Perubatan demi memberikan jaminan kerjaya lebih mampan dengan mengambil kira unjuran keupayaan dan beban fiskal negara
"Memandangkan pola pilihan calon sering menyebabkan ketidakseimbangan agihan, dasar akan menetapkan semasa dalam tempoh khidmat wajib, pegawai akan ditempatkan secara strategik untuk mengisi keperluan kritikal di negeri atau fasiliti kesihatan berbeban tinggi," menurut kementerian itu dalam kenyataan pada Sabtu.
KKM menegaskan komitmen dalam memastikan kualiti latihan siswazah bagi Pegawai Perubatan Siswazah (PPS) sentiasa terpelihara dengan mengutamakan pencapaian objektif pembelajaran hingga supaya dapat menghasilkan pegawai perubatan kompeten dan selamat, bukan sekadar memenuhi keperluan kuota.
Menurutnya, struktur latihan juga akan terus ditambah baik bagi memastikan setiap PPS mendapat pendedahan klinikal yang mencukupi tanpa kompromi.
"KKM sedang mempergiatkan usaha bersama agensi pusat untuk menambah baik struktur insentif kewangan serta kemudahan bagi petugas terlibat dengan mobilisasi dan penempatan di kawasan berbeban tinggi atau pedalaman.
"Ini merangkumi kajian semula kadar elaun agar kekal kompetitif, serta komitmen berterusan untuk menaik taraf fasiliti kuarters serta persekitaran kerja demi memastikan keselesaan dan motivasi petugas sentiasa terpelihara," ujarnya.
Dalam pada itu KKM memaklumkan, reformasi tersebut dilaksana susulan cabaran sumber manusia yang berpunca daripada isu struktur lama, termasuk ketidakseimbangan agihan tenaga kerja di peringkat nasional.
Sehingga Februari 2026, kadar pengisian di 48 Hospital Latihan Siswazah (HLS) hanya berada pada tahap 53 peratus iaitu 6,500 slot diisi daripada 12,198 kapasiti.
Bagi lantikan Bilangan 1 Tahun 2026 pula, kesemua 579 graduan yang memohon telah dilantik, namun jumlah itu hanya mengisi sekitar 10 peratus daripada kekosongan slot nasional.
"Selaras dengan Surat Pekeliling Ketua Pengarah Kesihatan bertarikh 25 Julai 2025, penempatan PPS bertujuan untuk melengkapkan kompetensi klinikal melalui latihan berstruktur.
"PPS bukan berfungsi sebagai tenaga kerja tambahan untuk mengisi kekosongan perjawatan atau menampung beban perkhidmatan," menurutnya.