KAJANG – Modul baharu diperkenalkan Tabung Haji (TH) dalam kursus persediaan haji bagi membantu meningkatkan kesedaran jemaah terhadap istito'ah atau kemampuan kesihatan menerusi penekanan kepada aktiviti fizikal dan persediaan mental.
Penolong Pegawai Perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Mohamad Zikram Mohd Raus berkata, modul tersebut memberi fokus kepada keupayaan jemaah dari segi mental dan fizikal supaya mereka mampu melaksanakan ibadah tanpa memudaratkan diri.
Menurut beliau, unsur senaman dan latihan fizikal diterapkan dalam modul berkenaan bagi memastikan jemaah mempunyai stamina serta keupayaan mencukupi sepanjang berada di Tanah Suci.
"Persediaan rapi penting memandangkan jemaah bakal berdepan pelbagai cabaran termasuk cuaca ekstrem, penyakit berjangkit dan ibadah yang memerlukan pergerakan fizikal secara kerap.
"Disebabkan itu, kita perlu memastikan jemaah bersedia untuk menghadapi semua cabaran dengan mental dan fizikal yang mantap, sekali gus berada pada tahap terbaik," katanya ketika ditemui selepas Kursus Intensif Haji di Dewan Masjid Penjara Kajang pada Sabtu.
Zikram berkata, modul kesihatan mental turut diperkenalkan bagi membantu jemaah membuat persediaan bermula dari rumah, sepanjang penerbangan sehingga tiba di Tanah Suci.
Jelasnya, modul kesihatan mental diperkenalkan kerana setiap tahun terdapat jemaah yang berdepan tekanan perasaan, kemurungan dan kesukaran mengawal emosi ketika menghadapi cabaran semasa berada di Tanah Suci.
Beliau berkata, modul tersebut turut memberi sokongan kepada jemaah yang kurang pengalaman ke luar negara agar mereka lebih bersedia menghadapi cabaran di Tanah Suci.
"Insya-ALLAH, modul terbabit dapat membantu mereka untuk bersedia sebelum, semasa dan selepas mengerjakan ibadah haji," kata Mohamad Zikram.
Jelasnya, tumpuan ketika ini adalah memastikan tahap kesihatan mental dan fizikal jemaah berada pada tahap terbaik agar mereka dapat menunaikan ibadah dengan lancar dan selamat sepanjang berada di Tanah Suci.
Pekerja swasta, Md Azinor Sulaiman, 55, berpandangan pengenalan modul baharu berkaitan kesihatan bagi bakal jemaah haji merupakan langkah tepat dalam memastikan persediaan fizikal dan mental dapat dilakukan lebih awal sebelum berangkat ke Tanah Suci.
Menurutnya, modul tersebut memberi pendedahan penting kepada jemaah mengenai keperluan menjaga kesihatan kerana sebelum ini aspek berkenaan kurang diberi perhatian secara menyeluruh.
Beliau berkata, penekanan terhadap kesihatan melalui modul baharu itu membantu jemaah membuat persediaan lebih awal dan memahami kepentingan menjaga tahap kecergasan.
Selain kesihatan, katanya, persediaan menunaikan haji juga perlu melibatkan aspek kewangan dan ilmu dengan menghadiri kursus yang dianjurkan bagi memastikan jemaah benar-benar bersedia.
Bakal jemaah, Rohana Yahaya, 55, berkata, beliau mengurangkan pengambilan gula, mengamalkan pemakanan sihat dan membiasakan diri berjalan kaki sebagai latihan fizikal.
Katanya, usaha menjaga kesihatan, menabung secara konsisten serta berdoa menjadi antara kunci penting untuk memastikan urusan menunaikan haji dipermudahkan.
Seorang lagi bakal jemaah haji, Silfia Normawan, 64, berkata, perasaan gembira bercampur gementar menyelubungi dirinya sebaik menerima khabar berkenaan pada Januari lalu.
Menurutnya, beliau dan keluarga telah memulakan simpanan Tabung Haji sejak anak-anak masih kecil sebagai persediaan jangka panjang.
Tambah Silfia, amalan menabung itu kini diteruskan kepada cucu-cucu sebagai galakan awal untuk menunaikan ibadah haji pada masa depan.
Mengulas mengenai persediaan sebelum berangkat, katanya, aspek kesihatan menjadi fokus utama selain menghadiri kursus bagi memahami situasi sebenar di Tanah Suci.
"Dalam kursus pada hari ini, saya banyak didedahkan tentang kesihatan dan bagaimana situasi kita di sana melibatkan keadaan badan serta emosi," ujarnya lagi.