Bapa hadapi tiga pertuduhan amang seksual anak

Iklan
Pemandu lori tidak mengaku salah terhadap tiga pertuduhan mencabul anak perempuannya di Mahkamah Sesyen Seremban. Gambar hiasan.

SEREMBAN - Seorang pemandu lori tidak mengaku salah terhadap tiga pertuduhan mencabul anak perempuannya berusia 12 tahun di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis.

Tertuduh berusia 49 tahun didakwa dengan dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal bagi maksud seksual ke atas mangsa.

Iklan
Iklan

Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Bandar Springhill Port Dickson sekitar jam 9 malam pada Februari dan 16 Mei lalu.

Bagi pertuduhan ketiga pula, tertuduh pada 16 Mei lalu melakukan perbuatan sama dan di lokasi sama bagi maksud seksual terhadap mangsa.

Iklan

Ketiga-tiga pertuduhan boleh dihukum mengikut Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16 (1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara hingga 20 tahun dan dua sebatan.

Iklan

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Balkis Zunaidi di hadapan Hakim Datin Surita Budin manakala tertuduh diwakili peguam, V Segaran.

Terdahulu, pihak pendakwaan memohon tidak ditawarkan jaminan dengan mengambil kira mangsa dan tertuduh mempunyai hubungan bapa dan anak selain mangsa masih tinggal di tempat kejadian.

"Jika mahkamah menetapkan jaminan, pihak pendakwaan memohon jumlah tinggi RM50,000 setiap pertuduhan dengan penjamin bercagar.

"Tertuduh juga perlu melapor diri di balai polis berhampiran dan tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan," katanya.

Sementara itu, Segaran memohon jaminan rendah dan munasabah memandangkan tertuduh berpendapatan RM3,000 sebulan sudah berkeluarga dan menanggung tiga anak.

Katanya, tertuduh juga memberi kerjasama baik sepanjang siasatan apabila menyerah diri sebaik mengetahui pihak polis mencarinya.

Mahkamah membenarkan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan dan menetapkan sebutan semula kes pada 15 Ogos depan.

Tertuduh juga tidak dibenarkan mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Mahkamah juga memerintahkan tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran dan menyerahkan pasport serta perlu bekerjasama pada polis sekiranya dipanggil.