SHAH ALAM – Sudah tiba masanya negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mempertimbangkan pilihan sama ada mahu terus bersama blok kuasa besar seperti Amerika Syarikat (AS) atau membentuk pakatan baharu yang lebih bebas dan adil.
Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, ia berikutan kegagalan berterusan PBB dalam menjalankan peranannya sebagai badan antarabangsa yang sah dan berwibawa.
Menurut beliau, keadaan ketika ini membuktikan bahawa PBB, khususnya Majlis Keselamatan, tidak lagi mampu menjadi institusi keadilan global yang dihormati.
Jelasnya, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) sebelum ini telah mengeluarkan keputusan mengiktiraf tindakan genosid terhadap rakyat Palestin, namun ia tidak dipedulikan sama sekali oleh Israel mahupun sekutu utamanya, AS.
“Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu bukan sahaja bebas, malah dijulang dan diberi pentas untuk berucap di Kongres AS. Satu penghinaan terbuka kepada prinsip undang-undang antarabangsa.
“Ironinya, pemimpin seperti Rodrigo Duterte yang dituduh melakukan kekerasan terhadap pengedar dadah di negaranya, dikejar untuk didakwa.
“Kita tidak membantah pendakwaan terhadap mana-mana individu yang mempunyai bukti kesalahan, tetapi kenapa pendekatan sama tidak dikenakan terhadap Netanyahu yang terbukti memimpin rejim penjenayah perang?” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.
Mohamad berpandangan, kegagalan PBB tidak terhenti setakat di ICJ sahaja apabila usaha untuk melaksanakan gencatan senjata di Gaza juga sering disabotaj kuasa veto AS di Majlis Keselamatan PBB.
Tambah beliau, usul terakhir yang dibawa berjaya memperoleh 14 sokongan, namun digagalkan dengan hanya satu veto dari AS, menunjukkan bahawa PBB sekali lagi dikawal sepenuhnya oleh negara berkenaan.
Kata beliau, apabila Israel dan sekutunya melancarkan serangan terhadap Iran yang kemudian dibalas semula termasuk menyerang pangkalan tentera AS di Qatar, pihak yang mengumumkan gencatan senjata bukanlah PBB, sebaliknya Presiden AS ketika itu, Donald Trump.
“Kini, apabila konflik antara Hamas dan Israel memuncak, Trump turut membuat kenyataan bahawa gencatan senjata berlaku dalam masa terdekat. Sekali lagi, bukan PBB yang umumkan, tetapi Trump.
“Keadaan ini jelas menunjukkan bahawa PBB tidak lagi memainkan peranan efektif. Ia seolah-olah kehilangan fungsi asalnya sebagai badan antarabangsa yang bebas dan dihormati.
“Jika PBB terus gagal mengambil tindakan yang bermakna, kewujudan badan ini wajar dipersoalkan,” ujarnya.