Virus media sosial punca sindrom FOMO

Iklan
FOMO adalah sejenis gangguan mental yang menyebabkan seseorang mengalami rasa cemas, was-was dan khuatir.

FENOMENA ‘pantang tengok benda tular’ dalam kalangan rakyat Malaysia semakin menjadi-jadi dalam era digital yang didorong oleh media sosial.

Istilah tular atau viral merujuk kepada sesuatu perkara sama ada makanan, produk, gaya hidup atau kandungan digital yang tersebar dengan pantas dan meluas menerusi platform seperti TikTok, Instagram, Facebook dan X.

Iklan
Iklan

Dengan informasi di hujung jari, ramai yang cepat terpengaruh terhadap apa-apa sahaja yang tular, seolah-olah tidak mahu ketinggalan daripada arus semasa.

Ini mencerminkan budaya pengguna yang sangat responsif, ingin tahu dan terpengaruh dengan trend.

Iklan

Salah satu contoh paling ketara ialah makanan tular. Jika dahulu makanan tradisional menjadi pilihan utama, kini rakyat Malaysia sanggup beratur berjam-jam untuk mencuba makanan yang menjadi tular di media sosial.

Misalnya croffle, minuman boba, pisang cheese, chicken tenders, keropok lekor gemuk dan bermacam-macam lagi menu yang baru muncul bak cendawan selepas hujan.

Iklan

Apa yang menjadikannya tular bukan hanya kerana rasa, tetapi juga faktor persembahan visual yang menarik, ulasan influencer atau Tiktokers dan elemen keunikan yang membezakannya daripada makanan biasa.

Peniaga makanan juga bijak memanfaatkan fenomena ini untuk strategi pemasaran.

Mereka akan menamakannya sebagai menu viral atau trending, sekali gus menarik perhatian pengguna yang tidak mahu terlepas daripada mencuba sesuatu yang hangat diperkatakan.

Malah, ada juga individu yang sanggup merentas negeri semata-mata untuk mencuba satu menu yang sedang tular.

Bukan setakat makanan, rakyat Malaysia juga mudah terpengaruh dengan produk atau barangan tular.

Contohnya, produk kecantikan dari Korea, alat rumah pintar dari China atau fesyen tertentu menjadi kegilaan selepas tular di TikTok Shop atau Shopee Live.

Apa sahaja yang menunjukkan manfaat, keunikan atau dibuktikan secara review jujur berpotensi untuk mencetuskan gelombang pembelian besar-besaran.

Ini menyebabkan sesetengah barangan kehabisan stok dalam masa singkat.

Tindakan ini didorong oleh FOMO (Fear of Missing Out) iaitu ketakutan untuk ketinggalan dalam trend yang sedang berlangsung.

Seperti yang pernah dikongsikan Pensyarah Kanan, Program Psikologi Klinikal dan Kesihatan Tingkah Laku, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profersor Madya Dr Shazli Ezzat Ghazali berkata, FOMO adalah sejenis gangguan mental yang menyebabkan seseorang mengalami rasa cemas, was-was dan khuatir apabila mendapati individu yang dikenali dilihat terbabit dalam aktiviti yang lebih baik daripada mereka sehingga menyebabkan mereka rasa takut kehilangan sesuatu yang signifikan kepada diri mereka.

Oleh sebab itu, ramai yang tidak mahu ketinggalan dan mencuba walaupun belum tentu barang atau makanan itu berbaloi untuk dibeli.

Biarpun harga mahal, janji dapat merasa dan menjadi antara yang terawal mendapatkannya.

Faktor penyumbang

Beberapa faktor menyumbang kepada sikap rakyat Malaysia yang mudah terdedah dengan benda tular antaranya kecenderungan sifat masyarakat yang suka berkongsi, mencuba dan membandingkan pengalaman menjadikan mereka mudah terjebak dalam arus viral.

Pengaruh media sosial iaitu penggunaan meluas platform seperti TikTok dan Instagram telah mengubah cara rakyat berinteraksi dan membuat keputusan.

Malah budaya suka mencuba sesuatu yang baharu juga menjadi sebab rakyat Malaysia bersifat terbuka terhadap inovasi dan pengalaman baru.

Secara keseluruhannya, sikap pantang tengok benda tular dalam kalangan rakyat Malaysia merupakan cerminan kepada transformasi sosial akibat ledakan digital.

Ia menonjolkan rakyat yang cepat menerima perubahan dan sangat terhubung antara satu sama lain.

Namun kebergantungan hidup kepada media sosial jika tidak diuruskan dengan baik akan memberi impak kepada masyarakat kita dari segi kemerosotan kesejahteraan psikologi dan kesihatan mental.

Masyarakat perlu mempunyai kesedaran dan mengawal diri agar tidak mudah terpengaruh. Bukan semua benda kita harus memilikinya.

Jadi kita perlu bijak mengenal pasti yang mana satu keperluan atau sekadar kehendak semasa.

* Farah Nabila Mohamed Saris ialah Sub Editor Sinar Harian