SHAH ALAM – [DIKEMAS KINI] Ketika ramai memilih untuk menyerahkan urusan pembinaan rumah kepada kontraktor dan tukang, seorang wanita tabah di Pahang memilih jalan berbeza apabila membina rumah idaman dengan kudrat sendiri.
Itulah kisah luar biasa Auni Hazwani Faizun, 33, seorang ibu tunggal yang nekad mengangkat simen, mengacu besi dan memasang batu bata seorang diri demi merealisasikan impiannya memiliki rumah sendiri.
Menurut Auni, minatnya terhadap seni memang sudah berputik sejak kecil namun tidak pernah menyangka ia akhirnya membawa kepada dunia pertukangan dan pembinaan.
"Impian ini sudah lama sebenarnya tapi bila kira bajet untuk upah tukang, memang tak mampu. Jadi saya nekad bina sendiri sedikit demi sedikit.
"Dulu saya suka melukis tapi bila sudah dewasa minat itu berubah ke arah buat sendiri (DIY). Saya mula tertarik dengan konsep tiny house selepas tengok rancangan TV. Dari situ saya mula belajar dan letak impian, satu hari nanti mesti ada rumah sendiri, walau apa pun jadi," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Ujar Auni, tanpa sebarang latar belakang teknikal, dia mempelajari segala-galanya sendiri.
Baginya, kemahiran bukan halangan selagi ada kehendak.
"Tempat saya belajar? 'University of YouTube'," katanya berseloroh, namun jelas serius dalam usaha yang dijalankannya.
Kata Auni, cabaran utama baginya ialah di peringkat awal pembinaan yang memerlukan tenaga luar biasa.
Bagaimanapun, dia akui ada masanya dirinya hampir tumbang terutama ketika berhadapan situasi orang sekeliling.
"Masa mula-mula dulu tak ada alat khas macam 'concrete mixer'. Semua kena bancuh simen secara manual. Nak siapkan 'ground beam', slab lantai, lintel, semua kena buat sendiri. Memang penat, tapi saya hadap sahaja.
"Ada terlintas rasa putus asa, penat sangat tapi saya rehat, tarik nafas, bangun semula dan teruskan. Sudah mula, takkan nak berhenti, kan?.
"Dalam proses merealisasikan impian luar biasa ini, saya tidak terlepas daripada pandangan skeptikal. Orang pernah ragui kemampuan saya tapi saya jadikan semua itu angin lalu. Sebab kalau saya mahukan sesuatu, saya tak peduli apa orang kata," katanya.
Bicaranya lagi, kini rumah yang dibinanya sudah siap sekitar 70 peratus memakan masa dua tahun setengah jauh lebih awal daripada jangkaan lima tahun yang ditetapkannya.
Ditanya mesej yang ingin disampaikan kepada wanita lain, Auni berkongsi sesuatu yang menyentuh hati.
"Kalau kita rasa impian kita besar, ALLAH lagi Maha Besar. Tak ada yang mustahil bagi ALLAH, mintalah dengan sungguh-sungguh, pasti ALLAH bantu, cepat atau lambat sahaja," ujarnya dengan penuh yakin.
Kisah Auni membina rumah impian turut tular dan mendapat pelbagai reaksi masyarakat dan warga maya.
Bagaimanapun, ujarnya, dia tidak pernah mengambil hati kepada individu yang tidak senada dengan pemikirannya.
"Ramai yang kagum sebab ini bukan perkara biasa. Perempuan buat kerja berat, buruh bina rumah pula, buat kerja hanya seorang diri. Tapi saya dapat sokongan yang sangat positif. Yang negatif itu ada juga, tapi satu peratus sahaja, yang itu kita abaikan," katanya.
Kisah Auni Hazwani bukan sekadar tentang membina sebuah rumah, tetapi membangunkan harapan, ketabahan dan kepercayaan terhadap diri sendiri.
Ia merupakan satu inspirasi buat wanita lain untuk percaya bahawa tiada yang mustahil selagi impian disulam usaha dan keyakinan.