SHAH ALAM – Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menggesa Kerajaan Madani agar segera membentangkan pindaan kepada Akta Perhimpunan Aman sejajar dengan semangat Perlembagaan Persekutuan.
Presiden ABIM, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, gesaan itu dibuat susulan keputusan Mahkamah Persekutuan yang memutuskan bahawa Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman adalah tidak berperlembagaan.
"ABIM menyambut baik keputusan Mahkamah Persekutuan. Ia merupakan satu kemenangan penting kepada rakyat Malaysia dalam memperjuangkan hak untuk berhimpun secara aman sebagaimana dijamin di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.
"Oleh itu, semua pendakwaan dan siasatan di bawah seksyen ini juga harus digugurkan serta-merta," ujarnya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Sebelum ini, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa peruntukan Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 (PAA), yang memperuntukkan hukuman terhadap penganjur yang gagal memberikan notis lima hari lebih awal kepada polis sebelum mengadakan perhimpunan, adalah tidak berperlembagaan.
Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mempengerusikan panel lima hakim berkata, Seksyen 9(5) PAA adalah tidak berperlembagaan kerana ia tidak konsisten dengan Perkara 10(2)(b) yang dibaca bersama Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan.
Tambah Ahmad Fahmi, ABIM menegaskan bahawa menjadi tanggungjawab semua pihak, khususnya kerajaan untuk melindungi dan memperkukuh hak kebebasan berhimpun bukan mengekangnya atas alasan pentadbiran atau politik.
“Kebebasan bersuara dan berhimpun secara aman adalah asas kepada amalan demokrasi yang sihat dan wajar dipertahankan oleh semua pihak,” ujarnya.