PUTRAJAYA – Program Tarif Elektrik Hijau (GET) diteruskan selepas pelaksanaan tarif elektrik baharu dengan beberapa penambahbaikan, termasuk penurunan kadar premium melebihi 80 peratus.
Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) dalam satu kenyataan memaklumkan, kadar baharu GET diperkenalkan dengan struktur harga baharu secara ‘single tier’ bagi semua kategori pengguna.
Menurut kenyataan itu, kadar premium yang sebelum ini ditetapkan pada 10 sen/kWj untuk pengguna domestik dan bukan domestik voltan rendah, serta 20 sen/kWj bagi pengguna bukan domestik voltan sederhana dan tinggi, akan dikurangkan mengikut tempoh langganan.
“Bagi langganan selama setahun, kadar premium baharu ialah 5 sen/kWj, bagi dua tahun ialah 4 sen/kWj, dan bagi tiga tahun ialah 3 sen/kWj,” katanya.
Petra menjelaskan, program GET yang diperkenalkan sejak 2021 merupakan inisiatif strategik kerajaan untuk menyediakan pilihan bekalan elektrik daripada sumber tenaga boleh baharu (TBB) kepada pengguna Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang ingin mengurangkan jejak karbon.
Setakat ini, program tersebut telah membekalkan sebanyak 10,500 GWj tenaga hijau kepada lebih 3,551 pengguna daripada pelbagai kategori.
“GET membantu pengguna memenuhi komitmen Environmental, Social and Governance (ESG), khususnya dalam aspek pengurangan pelepasan gas rumah kaca,” katanya.
Pelaksanaan GET bagi tahun 2025 diteruskan berdasarkan prinsip asal dengan penyesuaian sewajarnya, selain mengekalkan pengecualian daripada mekanisme Pelarasan Kos Bahan Api Automatik (AFA) bagi pengguna tertentu.
“Pelanggan sedia ada juga diberikan pilihan untuk menamatkan langganan tanpa penalti sehingga 31 Ogos 2025 sekiranya tidak bersetuju dengan struktur baharu,” jelas kenyataan itu.
Mengambil kira keperluan pemilik pusat data serta pengguna industri dan komersial, Petra turut memperkenalkan penambahbaikan menerusi pelaksanaan GET Greenpath.
Program baharu itu membolehkan akaun penyewa yang melanggan bekalan elektrik hijau menerima pengiktirafan melalui penyaluran sijil TBB.
“Langganan GET Greenpath akan dibuka bermula 1 Ogos 2025 dan tertakluk kepada beberapa kriteria, termasuk pendaftaran akaun penyewa serta caj pentadbiran sebanyak 0.2 sen/kWj,” katanya lagi.
Petra berharap langkah itu akan meningkatkan keyakinan syarikat korporat dan industri dalam merancang langganan tenaga elektrik hijau, sekali gus memperkukuh kredibiliti program tersebut.
“Usaha ini akan mempelbagaikan akses tenaga hijau kepada syarikat yang perlu memenuhi komitmen ESG, sejajar dengan prinsip Malaysia Madani,” kata kenyataan itu.