SPRM tahan 4 individu, bongkar tuntutan palsu bernilai RM5 juta

Iklan
Empat individu termasuk dua pemilik syarikat ditahan reman SPRM kerana disyaki mengemukakan dokumen yang mengandungi butir matan palsu

KOTA KINABALU - Empat individu termasuk dua pemilik syarikat ditahan reman kerana disyaki mengemukakan dokumen yang mengandungi butir matan palsu berkaitan perolehan percetakan dokumen Permit To Work (PTW) bernilai kira-kira RM5 juta.

Perintah reman selama empat hari bermula 1 hingga 5 Julai dikeluarkan oleh Majistret Dzul Elmy Yunus terhadap tiga suspek lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 40-an hingga 50-an, selepas permohonan dibuat oleh SPRM di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu pada Selasa.

Iklan
Iklan

Menurut sumber, kesemua suspek ditahan ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Sabah antara jam 6 petang hingga 7 malam Isnin lalu.

Keempat-empat suspek, dua daripadanya merupakan bekas Pengurus Tadbir dan bekas Pembantu Tadbir sebuah syarikat minyak tempatan, dipercayai melakukan perbuatan itu sejak tahun 2019 hingga 2023.

Iklan

Suspek yang ditahan SPRM dibawa ke Mahkamah Kota Kinabalu untuk permohonan reman.

Kedua-dua suspek tersebut juga disyaki bersubahat dengan dua pemilik syarikat berkenaan dengan mengemukakan tuntutan palsu berkaitan perolehan percetakan dokumen PTW bernilai kira-kira RM5 juta.

Iklan

Menurut sumber, tangkapan terhadap kesemua suspek ini adalah susulan Op Effingo yang dijalankan oleh Bahagian Operasi Khas (BOK), SPRM.

Kenderaan antara yang disita SPRM.

Pada 30 Jun 2025, BOK telah mengeledah 10 lokasi berbeza termasuk kediaman suspek, pejabat dan beberapa syarikat di sekitar Kota Kinabalu dan Lembah Klang.

Melalui operasi tersebut, SPRM telah menyita 22 akaun bank termasuk akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB) dengan nilai kira-kira RM2 juta serta pelbagai mata wang asing berjumlah kira-kira RM14,000.

Selain itu, SPRM turut menyita tiga unit kereta mewah bernilai kira-kira RM1.3 juta dan tiga unit telefon bimbit.

Antara wang yang disita SPRM

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.

“Suspek akan dituduh di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan kesalahan lain di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) berkaitan aliran wang melibatkan aktiviti pengubahan wang haram,” katanya.