Muslihat damai Israel, pelan jahat 'takluk' Asia Barat

Iklan
Israel cuba hidupkan semula Perjanjian Abraham dengan dekati Syria dan Lubnan, namun negara Arab tetap menuntut pengunduran dari Bukit Golan serta penubuhan negara Palestin merdeka.

TEL AVIV - Israel kembali dengan muslihat baharu apabila ia secara tiba-tiba berminat untuk menjalinkan hubungan dengan seteru lamanya, Syria dan Lubnan sebagai cubaan untuk menghidupkan semula Perjanjian Abraham.

Menteri Luar, Gideon Saar memberi alasan kedudukan Iran yang 'lemah' selepas perang selama 12 hari pada bulan lalu membuka peluang kepada negara lain untuk 'berbaik' dengan Israel.

Iklan
Iklan

“Kami mahu menambah lagi senarai negara Arab dalam lingkaran keamanan di samping melindungi kepentingan dan keselamatan Tel Aviv,“ ujarnya.

Kempen pengeboman Zionis menyasarkan kedudukan pejuang Hizbullah di Beirut. Foto Agensi

Iklan

Ia, sekali gus mengeyakan pengumuman Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu, baru-baru ini yang kononnya mahu memperluaskan lagi 'perjanjian damai' di Asia Barat selepas konflik terbuka bersama Teheran berakhir.

Langkah itu juga sebenarnya bertujuan untuk menghidupkan semula Perjanjian Abraham yang diperkenalkan pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump selaku perantara proses damai antara Israel bersama beberapa negara Arab yang pernah mencetuskan kontroversi sebelum ini.

Iklan

Cadangan untuk berdamai dengan Israel itu bukanlah satu khabar gembira buat negara Arab setelah rantau tersebut berdepan ketidakstabilan dek perang genosid di Genting Gaza yang berlarutan selama hampir dua tahun dan kempen serangan Zionis yang dilancarkan ke atas Lubnan dan penggulingan rejim kuku besi di bawah tampuk pemerintahan bekas Presiden Syria, Bashar al-Assad.

Saar bagaimanapun menyatakan Bukit Golan yang diduduki pada 1981 selepas kawasan strategik itu ditawan ketika Perang Enam Hari pada 1967 kekal sebagai sebahagian daripada Tel Aviv.

Komuniti antarabangsa menganggap Golan sebagai milik Damsyik walaupun Trump pernah mengiktiraf kedaulatan Israel ke atas kawasan yang jadi pertikaian itu ketika penggal pertama pentadbiran beliau di Rumah Putih.

Selepas penyingkiran Assad, rejim Zionis bertindak menempatkan pasukan tentera mereka di Bukit Golan dan menubuhkan zon penampan baharu di sana.

Pendirian Syria

Sejak minggu lalu, rangkaian media Israel sudah menguar-uarkan tentang rancangan 'pelan damai Israel-Syria'.

Pegawai kanan di Damsyik pula tegas dengan pendirian mereka dan menyatakan sebarang usaha menormalkan hubungan dengan Tel Aviv harus dilaksanakan di bawah Inisiatif Keamanan Arab 2002 serta tidak akan menyerahkan Bukit Golan yang sudah pun menjadi sebahagian daripada wilayah Syria.

Inisiatif Keamanan Arab 2002 itu melibatkan pengunduran tentera Israel dari wilayah diduduki termasuk Bukit Golan, Tebing Barat dan Genting Gaza.

Israel mengerahkan tentera mereka ke Bukit Golan tidak lama selepas rejim Assad digulingkan pada Disember 2024. Foto Agensi

Selain itu, ia juga menuntut penubuhan negara Palestin yang merdeka dengan Baitulmaqdis Timur yang diduduki pada 1967 sebagai ibu kota.

Saar menyifatkan tindakan negara lain untuk menormalkan hubungan dengan Palestin langkah tidak konstruktif dan mendakwa kewujudan negara Palestin kononnya akan mengancam keselamatan entiti haram Israel.

Khabar angin tentang pelan damai Israel-Syria mungkin benar-benar akan berlaku dalam masa terdekat dan membuka peluang kepada rejim Tel Aviv untuk mengukuhkan lagi cengkaman mereka di Asia Barat.

Pada Mei lalu, beberapa media melaporkan pemerintah baharu Damsyik di bawah pimpinan, Ahmed al-Sharaa telah bertemu dengan wakil Israel untuk berbincang tentang usaha meredakan ketegangan tercetus selama beberapa dekad.

Pada Isnin, Trump menandatangani perintah eksekutif yang menarik balik siri sekatan AS ke atas Syria setelah beliau menguar-uarkan perkara itu, dua bulan lalu yang mungkin memberi isyarat Damsyik bakal menjalinkan hubungan dengan Tel Aviv dalam masa terdekat. - Agensi

Info:

>Pada 2020, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain dan Maghribi menjadi kumpulan negara pertama negara Arab menjalinkan hubungan bersama Israel di bawah Perjanjian Abraham selepas Jordan (1994) dan Mesir (1979). Perjanjian tersebut bagaimanapun kekal sebagai pilihan tidak popular di dunia Arab.

>Jared Kushner (menantu dan penasihat kanan Trump) pencetus idea Perjanjian Abraham yang digambarkan sebagai pendekatan diplomatik baharu di Asia Barat.

>Pentadbiran Trump melihat ia sebagai sebahagian daripada strategi 'perdamaian' di rantau tersebut melibatkan pelbagai perjanjian baharu termasuk penerbangan secara terus, perkongsian risikan, latihan ketenteraan bersama dan usaha niaga. Pengkritik pula mendakwa ia sebenarnya 'taktik terselindung' kerana Israel cuba menutup kekejaman terhadap penduduk Palestin di samping memperoleh manfaat ekonomi dan keselamatan.