KDN sedia pinda Akta Perhimpunan Aman susulan keputusan Mahkamah Persekutuan - Menteri

Iklan
Saifuddin

SHAH ALAM - Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan meneliti keputusan Mahkamah Persekutuan berkaitan Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 (APA 2012) termasuklah bersedia mempertimbangkan cadangan pindaan terhadap peruntukan undang-undang terkesan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pertimbangan itu dibuat bagi memastikan ia selari dengan kehendak Perlembagaan selepas Mahkamah Persekutuan menetapkan seksyen itu sebagai tidak berperlembagaan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kabinet sebelum ini melaksanakan moratorium terhadap sebarang pendakwaan di bawah seksyen sama.

"Keputusan itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai langkah awal ke arah pembaharuan menyeluruh terhadap undang-undang berkaitan hak berhimpun.

Iklan

"Sejajar dengan komitmen tersebut, KDN juga akan membentangkan pindaan terhadap Seksyen 11 Akta Perhimpunan Aman dalam sidang Parlimen akan datang," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Terdahulu, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa tindakan menghukum individu yang gagal memaklumkan kepada polis lima hari lebih awal sebelum mengadakan perhimpunan aman adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Iklan

Keputusan penting itu dibuat secara sebulat suara oleh panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

Saifuddin memaklumkan, kerajaan sentiasa menjunjung tinggi prinsip demokrasi dan keluhuran Perlembagaan dengan memastikan hak rakyat untuk berhimpun secara aman terus dipelihara.

"Sejak 2023, lebih 10,000 perhimpunan telah diadakan dan 98 peratus daripadanya berlangsung tanpa sebarang sekatan. Pada 2024, angka itu meningkat kepada 99 peratus daripada lebih 7,000 perhimpunan," ujarnya.

Beliau berpandangan, situasi itu menunjukkan rakyat Malaysia semakin matang dalam menggunakan hak untuk berhimpun secara aman dan bertanggungjawab.

Tambahnya, kerajaan akan terus memastikan keseimbangan antara kebebasan individu dan keperluan menjaga ketenteraman serta keselamatan awam.

"Adalah menjadi keutamaan kerajaan untuk memastikan setiap hak rakyat yang dijamin oleh Perlembagaan dapat dilaksanakan dalam suasana yang aman, teratur dan bertanggungjawab," menurutnya lagi.