Kebakaran Putra Heights: Ganti tiga talian paip gas baharu sedang disiapkan

Iklan
Keadaan di kawasan kebakaran melibatkan kebocoran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights. Foto fail Bernama

SHAH ALAM – Rekabentuk kejuruteraan melibatkan penggantian tiga talian paip gas baharu dengan panjang kira-kira 200 meter setiap satu di lokasi terjejas akibat kebocoran dan kebakaran paip gas Putra Heights, Subang Jaya sedang disiapkan dan dijangka mula beroperasi pada suku ketiga tahun 2026.

Pejabat Ketua Pengarah, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) berkata, struktur papak konkrit (concrete slab) akan dipasang untuk menempatkan paip baharu dengan lebih selamat dan tahan lama.

Iklan
Iklan

Menurutnya, semua kerja dijalankan mengikut kod teknikal dan piawaian antarabangsa yang diiktiraf, termasuk ASME B31.8 (American Society of Mechanical Engineers – Gas Transmission and Distribution Piping Systems).

“Ini merupakan fasa kedua dan keselamatan menjadi keutamaan dalam semua kerja pembaikan.

Iklan

“Buktinya, kontraktor yang melaksanakan kerja ini telah berdaftar dan memenuhi syarat ketat JKKP.

“Pada masa sama, prosedur kimpalan paip gas serta kelayakan pengimpal turut mematuhi piawaian teknikal yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Iklan

Tambah kenyataan itu, beberapa kajian geoteknikal seperti pemetaan tanah, kajian lapisan batuan dan tanah serta pemantauan pergerakan tanah turut dijalankan.

Jelasnya, ia bertujuan untuk memastikan tapak pemasangan paip berada dalam keadaan stabil dan selamat pada jangka masa panjang.

“JKKP memberi jaminan bahawa semua kerja ini dipantau secara rapi dan tanpa prejudis bagi memastikan keselamatan bukan sahaja kepada pekerja di tapak pembinaan, tetapi juga kepada penduduk dan perniagaan sekitar.

“Sebagai langkah kawalan tambahan, Petroliam Nasional Berhad (Petronas) telah diarahkan untuk menyediakan akses pemantauan masa nyata ke atas sistem injap isolasi pada talian paip bagi memastikan sistem boleh ditutup segera dan berfungsi dengan baik sekiranya berlaku kecemasan,” ujarnya.

Kenyataan itu juga menjelaskan usaha pembaikan ini penting bagi memastikan bekalan gas dapat dipulihkan dengan selamat dan stabil untuk penduduk serta perniagaan di kawasan terlibat.

Katanya, JKKP memahami keperluan mendesak penduduk dan perniagaan untuk mendapatkan bekalan gas yang selamat serta stabil secepat mungkin.

“Oleh itu, JKKP sentiasa komited untuk terus memantau setiap peringkat projek yang dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab dan mengembalikan keyakinan pengguna terhadap keselamatan sistem paip gas di kawasan berkenaan.

“Sebelum ini, ujian keselamatan seperti ujian tanpa musnah pada sambungan kimpalan dan ujian tekanan selama 24 jam telah dilaksanakan. Keputusannya disahkan oleh JKKP dan pihak ketiga yang berkecuali menunjukkan tiada kebocoran atau penurunan tekanan.

“Selain itu, paip sementara akan mula menyalurkan semula bekalan gas (gas-in) pada 1 Julai 2025 bagi membolehkan pengguna mendapatkan semula bekalan yang stabil,” ulasnya.