Lebanon gesa Israel berundur dari 5 pos sempadan

Iklan
Jentera digunakan untuk membersihkan runtuhan bangunan susulan serangan Israel di Nabatieh di selatan Lebanon pada 27 Jun lalu. Foto AFP

BEIRUT/ISTANBUL - Lebanon pada Isnin mendakwa Israel melanggar Resolusi 1701 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dengan menduduki lima bukit di selatan negara itu, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Presiden Lebanon Joseph Aoun mengadakan pertemuan di Beirut dengan Mejar Jeneral Diodato Abagnara, Komander Pasukan Pengaman PBB (UNIFIL) yang baru dilantik, menurut kenyataan Pejabat Presiden.

Iklan
Iklan

Dalam pertemuan itu, Aoun menggesa Israel berundur dari lima bukit berkenaan bagi membolehkan tentera Lebanon melengkapkan penempatan mereka di sempadan yang diiktiraf antarabangsa.

Beliau menekankan kepentingan peranan UNIFIL di rantau itu dan mengulangi komitmen Lebanon terhadap Resolusi 1701 yang menyeru penempatan pasukan pengaman PBB di negara itu.

Iklan

"Keadaan serantau ketika ini memerlukan kehadiran berterusan pasukan antarabangsa yang bekerjasama dengan tentera kami untuk mengekalkan kestabilan di selatan, yang tidak boleh dipisahkan daripada kestabilan serantau,” kata Aoun.

UNIFIL telah beroperasi di selatan Lebanon sejak 1978 dan diperkukuhkan selepas perang 2006 antara Israel dan Kumpulan Hizbullah Lebanon. Mandat semasanya akan tamat pada 31 Ogos 2025 kecuali disambung semula oleh Majlis Keselamatan PBB.

Iklan

Presiden Lebanon itu berkata, bilangan anggota tentera di selatan Lebanon akan ditambah bagi memastikan keselamatan dan keamanan di kawasan berkenaan.

Israel melancarkan serangan besar-besaran ke atas Lebanon pada 8 Oktober 2023 yang kemudian merebak menjadi perang skala penuh pada 23 September 2024. Konflik itu telah mengorbankan lebih 4,000 orang, mencederakan lebih 17,000 dan memaksa hampir 1.4 juta orang berpindah, menurut data rasmi.

Pasukan tentera Israel melakukan serangan hampir setiap hari di selatan Lebanon dengan mendakwa menyasarkan aktiviti Hizbullah, meskipun terdapat gencatan senjata antara Israel dan Lebanon yang dicapai pada November lepas. Perjanjian itu menamatkan pertempuran rentas sempadan selama beberapa bulan antara Israel dan kumpulan penentang Lebanon itu.

Pihak berkuasa Lebanon melaporkan hampir 3,000 pelanggaran gencatan senjata oleh Israel, termasuk menyebabkan sekurang-kurangnya 224 kematian dan lebih 500 cedera sejak perjanjian itu dimeterai.

Di bawah perjanjian gencatan senjata itu, Israel sepatutnya berundur sepenuhnya dari selatan Lebanon pada 26 Januari, namun tarikh akhir dilanjutkan ke 18 Februari selepas Tel Aviv enggan mematuhi perjanjian berkenaan. Israel masih mengekalkan kehadiran tentera di lima pos sempadan. - Bernama-Anadolu