Pengendali bot perlu tegas tolak permintaan ketika cuaca buruk

Iklan
Bot pelancong yang terbalik di perairan Pulau Perhentian baru-baru ini.

KEUTAMAAN kepada ‘mengejar masa’ dan memenuhi permintaan perjalanan sering menjadi alasan utama sesetengah pengendali untuk terus belayar dalam keadaan cuaca berisiko tinggi, tanpa mengambil kira potensi bencana yang boleh berlaku dalam sekelip mata.

Ramai pengendali bot terperangkap dalam dilema antara menjaga nama baik perkhidmatan dan keselamatan penumpang, namun realitinya, membuat keputusan tegas untuk menangguhkan perjalanan adalah langkah paling bertanggungjawab.

Iklan
Iklan

Dalam banyak kes, penumpang sendiri mungkin mendesak untuk bertolak atas urusan penting, tetapi pengusaha perlu menyedari bahawa mereka adalah pihak yang diberi kuasa untuk membuat keputusan akhir dan keputusan itu harus berpaksikan kepada keadaan cuaca serta risiko nyawa.

Pengendali bot perlu berani berkata ‘tidak’ walaupun berdepan dengan tekanan atau kerugian kerana keselamatan bukan perkara boleh runding.

Iklan

Baru-baru ini, tiga maut termasuk dua kanak-kanak apabila sebuah bot pelancong yang membawa 15 penumpang terbalik dalam kejadian di perairan Pulau Perhentian, Besut,

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam, Sabtu, bot berkenaan dipercayai hilang kawalan akibat ombak kuat dan cuaca buruk ketika dalam perjalanan dari Pulau Perhentian Kecil ke Pulau Perhentian Besar, sebelum terbalik pada jarak 0.05 batu nautika dari Cozy Chalet Resort.

Iklan

Insiden itu melibatkan sembilan orang dewasa berusia antara 19 hingga 57 tahun serta enam kanak-kanak berumur antara tiga hingga 11 tahun.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Azamuddin Ahmad @ Abu memberitahu, difahamkan, pada awalnya pemandu bot telah menasihatkan supaya perjalanan ditangguhkan berikutan keadaan cuaca buruk, namun mereka tetap mahu pulang ke penginapan.

Beliau menasihatkan orang ramai agar sentiasa mengutamakan aspek keselamatan diri dan keluarga ketika melakukan aktiviti di laut atau pulau.

Oleh itu, perubahan sikap tidak boleh bergantung kepada nasihat semata-mata, sebaliknya perlu disokong dengan tindakan tegas oleh pihak berkuasa termasuk penggantungan lesen jika ada pelanggaran arahan larangan berlayar.

Dalam masa sama pendidikan keselamatan laut yang berterusan juga perlu dipertingkatkan dalam kalangan pengendali bot di kawasan luar bandar yang sering berdepan situasi tekanan daripada komuniti setempat, terutamanya semasa musim perayaan atau cuaca tidak menentu.

Sudah jelas, tragedi bot karam membuktikan risiko perjalanan laut tidak seharusnya dipandang ringan.

Desakan penumpang tidak boleh dijadikan alasan untuk menggadaikan nyawa dan sudah tiba masanya pengendali bot diberi kuasa serta keyakinan untuk membuat keputusan tegas demi keselamatan semua pihak.