Lebih banyak bantuan kepada rakyat - MB Perak

Iklan
Saarani (tiga dari kiri) melawat ruang pameran sempena Majlis Pembentangan Laporan Kemajuan Tahun Ketiga Perak Sejahtera 2030 di Kolej Kemahiran Tinggi Mara Lenggong, di sini pada Isnin.

LENGGONG - Peningkatan ketara hasil negeri dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini membolehkan pelbagai bantuan dan inisiatif kebajikan diperluaskan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, prestasi kewangan negeri berada pada tahap memberangsangkan apabila Perak berjaya mencatatkan lebihan belanjawan selama tiga tahun berturut-turut dengan hasil negeri meningkat kepada RM1.23 bilion pada 2023, berbanding RM1.13 bilion pada tahun sebelumnya.

Iklan
Iklan

Katanya, prestasi fiskal Perak yang kukuh memungkinkan kerajaan negeri membentangkan belanjawan lebih besar saban tahun dan menyalurkan manfaat yang lebih luas kepada rakyat.

“Pencapaian Perak mencatat lebihan belanjawan selama tiga tahun berturut-turut walaupun perbelanjaan ditingkatkan setiap tahun, jelas mencerminkan pengurusan fiskal yang cermat dan kecekapan pentadbiran negeri,” katanya ketika membentangkan Laporan Kemajuan Tahun Ketiga Perak Sejahtera 2030 di Kolej Kemahiran Tinggi Mara Lenggong, di sini pada Isnin.

Iklan

Saarani berkata, kelebihan melalui peningkatan kutipan hasil negeri itu telah membolehkan pelbagai bentuk bantuan diperkenalkan dan ditambah nilai setiap tahun, termasuk Bantuan Khas Kewangan (BKK) kepada penjawat awam negeri serta menaikkan kadar bantuan kebajikan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daripada RM300 kepada RM500 sebulan.

Selain itu katanya, manfaat kenaikan bantuan turut meliputi bantuan makanan asas melalui pengagihan kotak makanan, Kad Perak Sejahtera serta peluasan program Kedai Bergerak Negeri Perak dan penambahbaikan Bas Perak Sejahtera serta beberapa inisiatif bantuan pendidikan dan mahasiswa.

Iklan

Inisiatif membasmi kemiskinan pula menunjukkan impak besar apabila sebanyak 8,986 Ketua Isi Rumah (KIR) berjaya dikeluarkan daripada kategori miskin tegar melalui program bersasar seperti Pusat Sehenti (OSC) Sejahtera Sosial, eKasih dan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR).

“Banyak perancangan yang kita susun sejak 2022 kini bukan sahaja mula menampakkan hasil, malah memberi impak langsung kepada rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, Saarani berkata, kemakmuran ekonomi negeri turut memberi kesan langsung kepada peningkatan kutipan zakat, terutamanya zakat harta yang kian bertambah di Perak.

Katanya, peningkatan kutipan zakat itu juga telah membolehkan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) memperluaskan bantuan kepada golongan asnaf dan B40 dalam bentuk bantuan pendidikan, kesihatan, keusahawanan serta kebajikan.