Peniaga makanan minuman mikro dan kecil disaran hadiri sesi libat urus PPKB - Armizan

Iklan
Armizan ketika menghadiri Sesi Libat Uurs PPKB bagi negeri Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini pada Isnin.

KOTA KINABALU - Golongan peniaga makanan dan minuman khususnya mikro dan kecil disaran untuk menghadiri sesi libat urus Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) atau menghantar memorandum sebelum pelaksanaan pindaan peraturan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Menteri KPDN Datuk Armizan Mohd Ali berkata, sesi libat urus tersebut bertujuan untuk mendapatkan maklum balas dan pandangan daripada persatuan yang terlibat berkaitan cadangan pindaan terhadap peruntukan yang terkandung dalam Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021.

Iklan
Iklan

"Berbeza dengan PPKB (Pindaan) 2021 yang menghadkan penggunaan silinder gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi kepada hanya 42 kilogram, iaitu lebih daripada itu mereka perlu memohon permit barang kawalan yang sekali gus tidak membenarkan mereka menggunakan tong gas bersubsidi.

"Pindaan yang kita laksanakan ini akan mengambil kira keperluan peniaga mikro dan kecil dalam sektor makanan serta minuman. Peniaga jualan makanan dan minuman tidak perlu khuatir selagi mereka menjual makanan dan perkhidmatan mereka itu dengan harga yang wajar, mereka akan dijamin terus dapat memanfaatkan subsidi LPG ini," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar ketika menghadiri Sesi Libat Uurs PPKB bagi negeri Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini pada Isnin.

Katanya lagi, cadangan pindaan itu penting untuk mengenal pasti mekanisme kawalan dalam konteks untuk mengekang ketirisan subsidi ini terutama yang melibatkan aspek penyelewengan dan penyeludupan.

Iklan

"Sebab itu, kita mahu persatuan ini tampil sendiri untuk memberikan syor dan pandangan mereka bagaimana kaedah terbaik supaya kita dapat mewujudkan pengurusan risiko supaya ketirisan tidak berlaku.

"Ini sekali gus membolehkan mereka mendapat manfaat menggunakan tong LPG bersubsidi ini dan menjual barang atau perkhidmatan dengan harga yang wajar dan tidak membebankan rakyat," katanya.

Sebelum itu, beliau memaklumkan sesi libat urus tersebut telahpun digerakkan di seluruh negeri dan pindaan tersebut disasarkan untuk dilaksanakan sebaik selesai tempoh Ops Gasak Ops Kesan 4.0 bermula 1 Julai.

"Setakat ini melibatkan empat negeri iaitu Selangor, Wilayah Persekutuan, Johor dan hari ini Sabah. Sesi ini akan berterusan dan diharap Julai dan Ogos kita dapat mengumpul memorandum, syor dan pandangan umum.

"Apabila selesai, kita dapat mengemukakan cadangan pindaan ini, walaupun ia adalah kuasa Menteri KPDN tetapi ia melibatkan kepentingan umum dan rakyat.

"Sebagaimana kebenaran sebelum ini saya peroleh untuk kabinet meluluskan untuk kita meminda peraturan ini, maka draf peraturan baharu itu saya akan bawa kepada jemaah menteri supaya mendapat pandangan daripada semua ahli jemaah menteri yang mewakili pemegang taruh masing-masing," jelasnya.