[VIDEO] PM minta penjawat awam pertahan Kota Madani

Iklan

PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta penjawat awam mempertahankan konsep pembangunan Kota Madani yang diperkenalkan kerajaan meskipun berdepan kritikan dan tohmahan daripada pihak tertentu.

Perdana Menteri berkata, projek itu bukan sekadar membina rumah untuk penjawat awam, tetapi menampilkan pendekatan baharu yang mementingkan keselesaan, nilai kemasyarakatan dan kelestarian alam sekitar.

Iklan
Iklan

“Kita tahu masalah perumahan untuk penjawat awam. Yang menunggu beribu, yang rosak pun beribu unit. Namun dalam beberapa tahun kebelakangan ini, 98 peratus rumah yang rosak telah dibaiki dan diduduki.

“Sebab itu apabila ada usul untuk bangunkan kota baharu ini, kita siapkan fasa pertama dengan 3,000 unit dan fasa kedua melibatkan tambahan 10,000 unit. Ia bukan sekadar rumah biasa. Sekolah, masjid, gimnasium, ruang hijau semua diambil kira,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Perhimpunan Bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini, pada Isnin.

Menurut Anwar, pembangunan Kota Madani dilaksanakan dengan keupayaan pihak swasta tanpa membebankan kerajaan, sekali gus menafikan dakwaan kononnya terdapat kepentingan kontraktor tertentu.

Iklan

Anwar ketika menyampaikan ucapan semasa hadir pada Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri Bagi Bulan Jun di Puspanitapuri hari ini. - Foto: Bernama

“Ramai yang tidak senang. Entah dia mewakili kontraktor lain atau ada kepentingan tertentu, saya tidak faham. Tetapi Perbadanan Putrajaya mampu mengurus sendiri tanpa membebankan kerajaan,” ujarnya.

Anwar turut menyentuh perancangan pembangunan moden yang merangkumi struktur tempat letak kereta bawah tanah dan reka bentuk bandar yang membolehkan semua keperluan harian diakses dalam tempoh 10 hingga 15 minit berjalan kaki.

Beliau berharap penjawat awam dapat memahami dan menyokong pendekatan baharu ini yang selari dengan nilai-nilai Madani.

Projek Kota Madani yang terletak di Presint 19, Putrajaya, dengan nilai pembangunan kasar sebanyak RM4 bilion, dibangunkan oleh Putrajaya Holdings Sdn. Bhd. (PjH) menerusi model kerjasama awam-swasta berkonsepkan Build-Lease-Maintain-Transfer (Bina–Pajak–Selenggara–Pindah, BLMT), tanpa melibatkan sebarang peruntukan kerajaan pada peringkat awal.

Pembangunan ini bakal merangkumi 10,000 unit kuarters kediaman berintensiti tinggi yang mampu menampung lebih 30,000 penduduk, termasuk sekolah menegak serta pelbagai kemudahan awam.

Ia juga dirangka dengan integrasi teknologi kecerdasan buatan (AI), infrastruktur digital pintar dan sistem mobiliti hijau.

Kemudahan lain yang dirancang termasuk institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), sekolah, klinik kesihatan, balai bomba, balai polis, masjid, institusi kewangan serta reka bentuk berunsur budaya tempatan bagi mengekalkan warisan seni bina.