Kempen buah tempatan dorong cinta hasil bumi

Iklan
Kerajaan akan mempergiat semula kempen makan buah-buahan tempatan.

USAHA kerajaan mempergiat semula kempen makan buah-buahan tempatan merupakan langkah tepat dan strategik dalam mengurangkan kebergantungan kepada buah import, selain membantu meningkatkan pendapatan petani di seluruh negara.

Perkara tersebut dikongsikan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu ketika berucap merasmikan Hari Nanas Malaysia di Plaza Angsana, di Johor Bahru, pada Jumaat.

Iklan
Iklan

Mohamad memberitahu bahawa semua agensi kerajaan Persekutuan dan negeri digalakkan menyediakan buah-buahan tempatan dalam setiap hidangan yang disediakan bagi majlis rasmi.

Tambah beliau, pelbagai jenis buah seperti nanas, durian, nangka dan avocado tempatan mempunyai potensi besar bukan sahaja untuk pasaran domestik malah pasaran eksport.

Iklan

Kempen tersebut menjadi semakin signifikan apabila kerajaan mengumumkan bahawa beberapa buah import akan dikenakan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) bermula 1 Julai ini.

Langkah itu jelas menunjukkan hasrat kerajaan untuk mengimbangi semula tabiat pengguna yang cenderung kepada buah-buahan import berbanding hasil tani tempatan, yang sebenarnya tidak kurang hebat dari segi rasa dan khasiat.

Iklan

Pengambilan buah tempatan bukan sahaja menyokong pendapatan petani, malah menyumbang kepada kelestarian ekonomi luar bandar serta mengurangkan kebergantungan negara kepada bekalan makanan import yang sering mengalami ketidaktentuan harga.

Dalam jangka panjang, galakan kepada pengguna untuk membeli buah-buahan tempatan juga mampu memacu pertumbuhan sektor agromakanan dan mewujudkan peluang pekerjaan baharu di peringkat akar umbi.

Pelaksanaan SST ke atas buah import tertentu dijangka menyebabkan kenaikan harga, dan situasi ini secara tidak langsung memberikan kelebihan kepada buah-buahan tempatan yang lebih mudah diperoleh.

Bagaimanapun, kejayaan kempen tersebut menuntut kerjasama pelbagai pihak, sama ada kerajaan, peniaga mahupun pengguna, agar kesedaran mencintai hasil tani tempatan benar-benar diterap dalam budaya pemakanan rakyat Malaysia.

Kerajaan juga tidak boleh bergantung semata-mata kepada kempen kesedaran. Sebaliknya, perlu ada langkah menyeluruh dan drastik bagi menstruktur semula rantaian bekalan buah-buahan tempatan agar lebih efisien dan adil kepada pengguna serta pengeluar.

Sebagai contoh, kerajaan melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan agensi berkaitan wajar memperluas program jualan terus dari ladang ke kawasan bandar. Dengan cara itu, harga buah-buahan tempatan dapat dikurangkan dan hasil jualan terus dinikmati oleh petani tanpa melalui orang tengah.

Kempen tersebut juga tidak seharusnya bersifat bermusim. Sebaliknya, ia perlu dilaksanakan secara berterusan dan menyeluruh termasuk di sekolah serta institusi pengajian tinggi bagi mendidik generasi muda menghargai hasil bumi sendiri.

Sudah tiba masanya rakyat membuka mata bahawa buah-buahan tempatan bukan sahaja setanding, malah dalam banyak keadaan lebih enak dan berkhasiat daripada buah-buahan import.