Perang Iran-Israel: Gencatan senjata tapi bara masih menyala

Iklan
Sebanyak 627 mangsa dilaporkan terkorban dan 4,870 cedera dalam siri serangan udara Israel dan AS di Iran. Foto AFP

PERANG 12 hari antara Iran dan Israel yang berakhir dengan pengumuman gencatan senjata pada 24 Jun lalu mencetuskan persoalan baharu mengenai hala tuju konflik Asia Barat yang semakin kompleks.

Pertempuran yang bermula pada 13 Jun lalu menyaksikan dua kuasa serantau itu saling melancarkan serangan udara, peluru berpandu dan dron, sebelum Amerika Syarikat (AS) campur tangan dengan mengebom beberapa kemudahan nuklear utama Iran.

Iklan
Iklan

Presiden AS, Donald Trump mengumumkan gencatan senjata selepas Iran melancarkan serangan balas ke atas pangkalan tentera AS di Qatar, dan mendakwa serangan AS-Israel telah ‘memusnahkan sepenuhnya’ keupayaan nuklear Iran.

Trump turut memaklumkan bahawa rundingan pusingan baharu berkaitan program nuklear Iran akan dimulakan minggu hadapan di Oman, sambil menyifatkan langkah diplomasi itu sebagai 'kemenangan untuk semua pihak'.

Iklan

Namun begitu, pakar antarabangsa dan pemantau Pertubuhan Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) menyatakan bahawa kerosakan terhadap infrastruktur nuklear Iran hanya bersifat sementara dan tidak melumpuhkan keupayaan teknikal negara itu secara keseluruhan.

Dalam pada itu, angka korban terkini menunjukkan sekurang-kurangnya 28 orang terbunuh di Israel, manakala lebih 3,000 lagi cedera akibat serangan peluru berpandu dari Iran. Di pihak Iran, sebanyak 627 mangsa dilaporkan terkorban dan 4,870 cedera dalam siri serangan udara Israel dan AS.

Iklan

Para penziarah berjalan dalam perarakan pengebumian seorang askar Iran yang terkorban dalam serangan Israel beberapa hari lalu, di Tehran pada 26 Jun 2025. Foto AFP

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dalam kenyataannya mendakwa operasi gabungan dengan AS itu sebagai ‘kejayaan besar’ yang mengembalikan kekuatan moral dan ketenteraan Israel selepas kegagalan menangani krisis Gaza tahun lalu.

Netanyahu turut menerima lonjakan sokongan dalam kalangan rakyat Israel, apabila tinjauan pendapat menunjukkan 83 peratus pengundi Yahudi menyokong tindakan ketenteraan tersebut.

Trump pula menyokong penuh sekutunya itu, malah secara terbuka menyeru perbicaraan rasuah Netanyahu dibatalkan atas alasan ia melemahkan pemimpin ketika Israel berdepan krisis keselamatan paling genting.

Sementara itu, Pemimpin Agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei menyifatkan serangan AS sebagai 'tamparan kecil' dan menolak dakwaan bahawa program nuklear negaranya dimusnahkan. Beliau memberi amaran bahawa Iran tidak teragak-agak untuk menyerang semula mana-mana pangkalan AS di rantau Teluk jika diserang lagi.

Imej rakaman ini yang diambil daripada siaran berita IRIB Iran pada 26 Jun 2025 menunjukkan Pemimpin Tertinggi Republik Islam, Ayatollah Ali Khamenei sedang menyampaikan ucapan kepada rakyat. (Foto oleh IRIB NEWS AGENCY / AFP) / XGTY

Ayatollah juga mendakwa Iran telah melancarkan lebih 550 peluru berpandu ke arah sasaran di Israel dan Qatar sebagai membalas tindakan ‘provokasi’ Zionis dan sekutu Barat.

Presiden Iran, Masoud Pezeshkian pula menegaskan bahawa Teheran akan terus menghormati gencatan senjata selagi Israel tidak melanggarnya, dan bersedia berbincang dengan AS berdasarkan prinsip undang-undang antarabangsa.

Namun begitu, laporan media Barat seperti Financial Times mendedahkan lebih 120 bangunan awam di Teheran musnah akibat serangan udara, selain tujuh hospital dan beberapa kem tentera yang mengalami kerosakan teruk.

Tak semua peluru berpandu Iran dapat dipintas

Di pihak Israel pula, walaupun sistem pertahanan udara Iron Dome dan Arrow berjaya memintas hampir 90 peratus peluru berpandu Iran, beberapa kawasan awam tetap terjejas termasuk kematian orang awam di Beersheba apabila sebuah blok pangsapuri runtuh.

Negara-negara serantau termasuk ASEAN menyambut baik gencatan senjata tersebut dan menyeru semua pihak agar tidak memperluas konflik serta memberi tumpuan kepada penyelesaian diplomatik berpanjangan.

Penganalisis pertahanan antarabangsa menjangkakan rundingan di Oman bakal menjadi medan penting untuk menguji kesediaan Iran dan AS dalam mencapai kompromi strategik, termasuk isu penghapusan sekatan ekonomi dan jaminan keselamatan serantau.

Namun demikian, masih banyak persoalan belum terjawab antaranya keupayaan sebenar nuklear Iran, apakah Israel akan terus menumpukan kekuatan ke Gaza, dan apakah Trump mampu mengekalkan momentum damai menjelang pemilihan Presiden AS akan datang.

Meskipun pertempuran senjata terhenti buat sementara, retorik keras dan dendam ideologi antara kedua-dua negara kekal menjadi bara yang mampu menyala semula pada bila-bila masa.

Konflik Iran-Israel bukan sekadar perebutan wilayah atau isu nuklear, sebaliknya cerminan percaturan kuasa global yang belum menemui noktah.